KUALA LUMPUR:Thailand komited mencari penyelesaian secara damai dan berkekalan untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad di wilayah bergolak di selatan walaupun rundingan damai tergendala akibat pandemik COVID-19.

Rundingan antara wakil kerajaan Thailand - ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN), berlangsung secara maya minggu ini, yang pertama untuk tahun 2021.

Antara lain, ia menyaksikan bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator.

Sebelum ini rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan di Thailand dan Malaysia ditutup akibat pandemik COVID-19.

"Ya benar, mesyuarat diadakan secara maya. Wakil Thai tidak dapat ke Kuala Lumpur, BRN pula ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat untuk keamanan dan kedamaian tetap berlangsung,'' kata Abdul Rahim seperti dipetik BenarNews.

Satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat yang diadakan secara maya itu, yang disifatkan mereka terlibat sebagai sangat berjaya dan memberangsangkan.

"Pihak kerajaan Thai dan BRN masih berhubung dengan fasilitator walaupun mesyuarat diadakan secara maya, dengan terbaharu diadakan pada Rabu lepas.

"Proses rundingan damai mesti diteruskan kerana ia adalah agenda kebangsaan untuk menamatkan keganasan di wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di meja rundingan," kata kenyataan itu.

Kenyataan menyebut, antara agenda perbincangan secara maya itu termasuk, meneruskan alternatif menggerakkan rundingan susulan sekiranya pandemik COVID-19 berpanjangan dan pertemuan secara fizikal tidak dapat diadakan.

Mesyuarat teknikal secara maya antara BRN dan RTG telah diadakan pada 3 Februari 2021

Perkara lain yang turut sama dibincangkan dalam mesyuarat ialah mencari pendekatan tangani rundingan damai di selatan Thailand semasa musim pandemik selain langkah susulan yang sepatutnya diambil selepas setiap mesyuarat selesai berlangsung.

Rundingan damai antara BRN dan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan awal Mac 2020  telah membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

BACA: BRN setuju sertai proses dialog damai dengan kerajaan Thailand

Kedua-dua pihak akhirnya mencapai kesepakatan bahawa rundingan ialah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand.

Sebelum ini, pada 3 April 2020, BRN mengumumkan tindakan gencatan senjata, khusus bagi menyediakan akses bantuan perubatan dan kemanusiaan buat penduduk di wilayah yang terjejas akibat COVID-19.

BRN berkata, langkah menghentikan semua aktivitinya berkuat kuasa selagi BRN tidak diserang oleh petugas kerajaan Thailand.

Sejak penularan wabak COVID-19 di Thailand, insiden keganasan di wilayah bergolak telah berkurangan.


Keganasan tanpa henti di selatan Thailand bermula pada 2004 dan sehingga kini telah meragut 7,000 nyawa. - Astro AWANI


"Dalam tempoh pandemik, kami menerima mesej positif BRN yang mengumumkan gencatan senjata dan menumpukan usaha bagi memerangi COVID-19, selaras dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Namun, kami sedang menilai punca insiden keganasan berkurangan… adakah ia berikutan pandemik COVID-19 atau hasil pengumuman pihak BRN (menyertai rundingan damai)," kata Wanlop sebelum ini.

Pada 23 hingga 25 Julai, Wanlop telah turun padang ke selatan Thailand mendengar maklum balas dan cadangan dari pihak berkepentingan seperti pemimpin agama tempatan dan Jawatankuasa Penyelaras Tempatan untuk dibawa ke meja rundingan akan datang.

Putaran keganasan tanpa henti di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang sehingga kini mengorbankan 7,000 nyawa.