Skip to main content

Dunia

Rusia-ASEAN setuju teroka kerjasama AI dalam pelbagai bahasa

Forum Antarabangsa Kazan Digital Week 2026 di Kazan, Rusia minggu lepas, menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri teknologi serta pihak berkepentingan ekonomi digital dari Rusia dan Asia Tenggara. - Gambar BRICS International Malaysia
Forum Antarabangsa Kazan Digital Week 2026 di Kazan, Rusia minggu lepas, menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri teknologi serta pihak berkepentingan ekonomi digital dari Rusia dan Asia Tenggara. - Gambar BRICS International Malaysia
Advertisement

KAZAN: Rusia dan negara-negara ASEAN bersetuju meneroka peluang memperkukuh kerjasama digital, termasuk pembangunan kecerdasan buatan (AI) pelbagai bahasa, dalam sesi dialog khas sempena Forum Antarabangsa Kazan Digital Week 2026 yang berlangsung di Kazan, minggu lepas.

Perbincangan sebelum itu berlangsung menerusi sesi bertajuk Digital Dialogue Russia-Asean: A Look At The East, yang menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri teknologi serta pihak berkepentingan ekonomi digital dari Rusia dan Asia Tenggara.

Di forum itu, Presiden Akademi Sains Republik Tatarstan, Rifkat Minnikhanov berkata, institusi penyelidikan dan universiti di Rusia serta ASEAN berpotensi bekerjasama dalam pembangunan AI pelbagai bahasa menerusi inisiatif bersama yang melibatkan penyelidikan, pembangunan kaedah dan pelaksanaan projek perintis.

Advertisement

"Dalam hal ini, platform pendidikan berupaya menjadi pemangkin dalam merealisasikan inisiatif bersama ini," katanya yang turut mencadangkan supaya kerjasama dalam bidang pemeliharaan warisan budaya sebagai antara bidang kepentingan bersama antara kedua-dua pihak.

Image
INSERT_Jaziri Alkaf Abdillah Suffian & Rifkat Minnikhanov_BRICS International Malaysia
Pengerusi BRICS International Malaysia, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (kiri) dan Presiden Akademi Sains Republik Tatarstan, Rifkat Minnikhanov.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Republik Tatarstan, Roman Shaikhutdinov yang turut hadir di forum itu pula berkata, bandar teknologi Innopolis boleh menjadi pusat kerjasama antara Rusia dan ASEAN dalam bidang teknologi digital dan AI.

Advertisement

Menurut beliau, Tatarstan bersedia menawarkan kemudahan serta insentif kepada syarikat asing untuk mengembangkan operasi ke pasaran Rusia dan negara-negara Commanwealth of Independant States (CIS).

Satu inisiatif Rusia-Asean turut dicadangkan bagi membangunkan kaedah serta penyelesaian perintis melibatkan pembantu pembelajaran berasaskan AI dalam pelbagai bahasa.

"Ini antara matlamat yang ingin dicapai oleh Rusia-Asean menerusi kerjasama yang dicadangkan dan kita berharap ia bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih banyak pihak tetapi juga apabila direalisasikan kelak, peluang ini berupaya mendatangkan potensi yang lain-lain pula." kata beliau.

Selain itu, forum berkenaan turut mengenal pasti pemeliharaan warisan budaya sebagai bidang yang berpotensi untuk diterokai bersama.

Image
Forum Antarabangsa Kazan Digital Week 2026 di Kazan, Rusia minggu lepas, menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri teknologi serta pihak berkepentingan ekonomi digital dari Rusia dan Asia Tenggara. - Foto BRICS International Malaysia
Rusia-ASEAN setuju teroka kerjasama AI dalam pelbagai bahasa di Forum Antarabangsa Kazan Digital Week 2026 yang berlangsung di Kazan, Rusia baru-baru ini. - Foto BRICS International Malaysia

Peserta forum turut menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan, keselamatan siber, teknologi kewangan dan kewangan digital, selain mengiktiraf AI sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital.

Antara peserta yang menyertai sesi itu ialah Pengerusi BRICS International Malaysia, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Pengarah Urusan Technoriant Sdn Bhd, Lim Bruce serta wakil syarikat teknologi dan organisasi antarabangsa dari beberapa negara.

"Perbincangan di forum itu antara lain, mencerminkan usaha Rusia dan negara-negara Asean untuk memperkukuh hubungan dalam sektor digital serta meneroka peluang baharu berasaskan teknologi dan inovasi," kata Jaziri Alkaf kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Akademi Sains Republik Tatarstan dan BRICS International Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama sempena forum berkenaan di mana ia bertujuan memperkukuh hubungan dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi dan kerjasama kemanusiaan.

Perjanjian itu ditandatangani beliau bersama Presiden Akademi Sains Republik Tatarstan, Rifkat Minnikhanov.

"Forum  turut mengumumkan kemasukan sistem Pensijilan Pencapaian Asia, Asia Records, ke pasaran Rusia, sekali gus menjadi pencapaian pertama yang disahkan menerusi sistem tersebut.

"Ia menerima sijil pengiktirafan bagi kategori “Forum Teknologi Digital Hibrid Terbesar Dengan penyertaan bersemuka dan dalam talian” untuk tahun 2025," ujar Jaziri Alkaf.

Menurutnya, delegasi Malaysia menjadi kumpulan terbesar yang menghadiri Kazan Digital Week 2026 iaitu penyertaan 27 wakil daripada 20 syarikat dan organisasi, dengan empat daripadanya  membentangkan laporan serta perkongsian di forum tersebut.

Untuk rekod, BRICS International Malaysia berperanan mempromosikan hubungan perdagangan dan perniagaan antara Malaysia dengan negara anggota BRICS.

Must Watch Video

Advertisement