ARAU, PERLIS: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh sumbangannya dalam bidang penyelidikan bahan termaju menerusi pembangunan NS-UR Flux Cored Lead-Free Solder Wire, teknologi dawai pateri tanpa plumbum yang berpotensi menyokong keperluan industri elektronik dan semikonduktor.
Inovasi itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara UniMAP dan syarikat pengeluar bahan pateri dari Jepun, Nihon Superior Co Ltd, yang bermula sejak 2012.
Teknologi berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan dawai pateri tanpa kandungan plumbum, sekali gus menyokong usaha industri elektronik beralih kepada penggunaan bahan yang lebih mesra alam dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan berbahaya.
Dawai pateri atau solder wire memainkan peranan penting dalam proses pembuatan peralatan elektronik, khususnya bagi menyambungkan komponen pada papan litar bercetak (PCB) supaya sambungan elektrik dan mekanikal dapat berfungsi dengan baik.
Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia UniMAP, Prof Madya Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, pembangunan NS-UR membabitkan penyelidikan menyeluruh terhadap bahan, termasuk proses pembangunan formulasi, pencirian mikrostruktur serta penilaian prestasinya.
"Penyelidikan ini bukan sekadar menghasilkan bahan pateri alternatif, sebaliknya turut memberi perhatian kepada perubahan struktur dan fasa bahan ketika proses pematerian bagi memastikan mekanisme pembentukan sambungan dapat difahami dengan lebih mendalam," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Bagi mencapai matlamat itu, penyelidik UniMAP turut memanfaatkan kemudahan teknologi synchrotron di Jepun dan Thailand untuk mengkaji perubahan struktur bahan secara lebih terperinci ketika proses pematerian berlangsung.
Mohd Arif berkata, penggunaan kemudahan berkenaan membolehkan penyelidik meneliti tindak balas bahan pada peringkat mikrostruktur, sekali gus membantu memahami faktor yang mempengaruhi pembentukan sambungan pateri berkualiti dalam aplikasi elektronik.
"Kerjasama antara UniMAP dan Nihon Superior turut memperlihatkan kepentingan hubungan strategik antara institusi akademik dengan pihak industri dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada produk yang mempunyai nilai komersial.
"Dalam kerjasama itu, UniMAP menyumbangkan kepakaran saintifik dan penyelidikan bahan, manakala Nihon Superior memainkan peranan dalam aspek pembangunan produk, pembuatan, penilaian prestasi serta memahami keperluan sebenar pelanggan industri.
"Pendekatan berkenaan membolehkan penyelidikan yang dijalankan di universiti bergerak melangkaui peringkat makmal, sebaliknya mempunyai laluan untuk dikembangkan kepada penggunaan industri, khususnya dalam sektor elektronik yang sentiasa memerlukan bahan dan teknologi baharu," ujarnya.
Lebih penting, pembangunan NS-UR mencerminkan keupayaan kepakaran tempatan untuk terlibat dalam rantaian pembangunan teknologi berimpak tinggi, selain membuka ruang kepada pengukuhan bakat dan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan bahan serta teknologi semikonduktor.
Inovasi berkenaan turut diketengahkan menerusi Festival Idea Putrajaya 2026 sebagai antara hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang memperlihatkan bagaimana kerjasama strategik, kepakaran penyelidik dan keperluan industri mampu menghasilkan teknologi yang mempunyai potensi untuk dimanfaatkan pada peringkat lebih luas.