Skip to main content

Dunia

Rusia, China setuju perkukuh kerjasama dalam tenaga nuklear

Russian President Vladimir Putin and Chinese President Xi Jinping shake hands as they pose for photos before a tea ceremony following their meeting at the Great Hall of the People in Beijing, China May 20, 2026. Sputnik/Alexander Kazakov/Pool via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY.
Putin dan Jinping berjabat tangan sambil bergambar sebelum upacara minum teh selepas pertemuan mereka di Dewan Besar Rakyat di Beijing, China. - Foto REUTERS

MOSCOW: Rusia dan China bersetuju untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam penggunaan tenaga nuklear bukan ketenteraan, termasuk rancangan untuk meneroka "perjanjian pakej" bagi pembinaan bersama stesen jana kuasa nuklear baharu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kenyataan bersama Rusia-China mengenai pembentukan dunia multipolar dan hubungan antarabangsa baharu itu dikeluarkan susulan pertemuan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping pada Rabu, sebahagian daripada lawatan pemimpin Rusia itu ke Beijing.

"Kedua-dua pihak berhasrat untuk terus melaksanakan projek pembinaan Stesen Jana Kuasa Nuklear Tianwan dan Stesen Jana Kuasa Nuklear Xudapu, memastikan penyiapan kerja pembinaan tepat pada masanya serta pentauliahan kemudahan berkenaan, dan atas dasar ini memperdalam kerjasama dalam bidang tenaga nuklear awam," menurut kenyataan itu yang disiarkan di laman web Kremlin.

Rusia dan China juga merancang untuk memajukan kerjasama dalam pelakuran nuklear, reaktor neutron pantas, dan teknologi kitaran bahan api nuklear tertutup, menurut kenyataan itu.

Kedua-dua negara seterusnya berhasrat untuk meneroka "perjanjian pakej" yang meliputi kerja kitaran bahan api nuklear peringkat awal dan pembinaan bersama stesen jana kuasa nuklear baharu, berdasarkan manfaat bersama dan kepentingan yang seimbang, menurut deklarasi itu.

"Pihak-pihak berkenaan menyokong pelaksanaan projek dalam bidang industri kimia dan metalurgi. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mempromosikan kerjasama secara aktif dalam bidang perlombongan bersama dan piawaian 'hijau'," menurut kenyataan itu.

Putin tiba di China pada Selasa untuk lawatan rasmi selama dua hari.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement