PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Rusia telah menyediakan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa penamatan segera tindakan ketenteraan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Dokumen yang diperoleh TASS itu menyatakan "kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketenteraan semasa di Asia Barat dan sekitarnya, serta berkabung atas kehilangan nyawa yang tragis sepanjang permusuhan yang sedang berlaku di rantau itu."
Advertisement
Draf itu turut "menggesa semua pihak untuk menghentikan segera aktiviti ketenteraan mereka dan menahan diri daripada terus mencetuskan ketegangan di Asia Barat dan wilayah luar."
Majlis Keselamatan juga "sangat menggalakkan semua pihak yang terlibat untuk kembali ke meja rundingan tanpa sebarang penangguhan dan memanfaatkan sepenuhnya saluran politik serta diplomatik."
Selain itu, dokumen berkenaan "menekankan kepentingan menjamin keselamatan semua negara di rantau Timur Tengah dan sekitarnya," menurut teks draf resolusi yang diperoleh TASS.
-- BERNAMA-TASS