MOSCOW: Tentera Rusia telah memusnahkan stesen komunikasi satelit Starlink Ukraine dan pusat kawalan dron berhampiran Bakhmut, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia kepada Sputnik.

"... artileri kumpulan itu (pasukan Rusia) memusnahkan stesen komunikasi Starlink, pusat kawalan bagi pesawat tanpa pemandu bersama dengan dron Leleka-100, pusat komunikasi dan trak pikap," menurut jurucakap itu.

Selain itu, tentera Rusia telah menangkis serangan kumpulan penyerang Ukraine berhampiran perkampungan Berkhivka di kawasan Bakhmut.

Sementara itu, amaran serangan udara di beberapa wilayah di Ukraine dikeluarkan lewat malam Sabtu, menurut data Kementerian Transformasi Digital Ukraine.

Bunyi siren turut dibunyikan di wilayah Dnipropetrovsk, Kirovohrad, Mykolaiv dan bahagian Zaporizhzhia dan Kherson yang dikuasai Kyiv.

Media Ukraine melaporkan bahawa letupan kedengaran di wilayah Mykolaiv dan di bandar Zaporizhzhia yang dikawal Ukraine.

Serangan terhadap infrastruktur Ukraine telah berlanjutan sejak 10 Okt (dua hari selepas serangan pengganas di Jambatan Crimea).

-- BERNAMA