Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Dua beradik maut motosikal kemalangan dengan MPV di Arau

71650192192_MotorsikalKemalangan.jpg
Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata mangsa, lelaki berusia 42 tahun dan adik perempuannya berumur 33 tahun yang juga guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Gambar fail
Advertisement

ARAU: Dua adik-beradik maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Perlis-Changlun, berdekatan Bukit Mas di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata mangsa, lelaki berusia 42 tahun dan adik perempuannya berumur 33 tahun yang juga guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat pada 8.25 pagi dan dipercayai kemalangan itu berlaku apabila lelaki yang menunggang motosikal itu, tiba-tiba menukar haluan dari lorong kiri ke kanan memasuki laluan MPV terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 52 tahun memandu MPV dari Kuala Perlis ke rumah di Changlun dan berada di lorong kanan melalui Jalan Kuala Perlis-Changlun. 

“Tiba-tiba sebuah motosikal dari arah sama mengubah laluan dari lorong kiri ke kanan dan memasuki laluan MPV terbabit. Pemandu cuba membrek dan mengelak, tetapi telah melanggar bahagian belakang motosikal disebabkan jarak yang terlalu dekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata pemandu MPV itu tidak mengalami kecederaan dan keputusan hasil saringan awal urinnya, negatif.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk proses bedah siasat, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement