Skip to main content
Advertisement

Malaysia

5,278 kes keganasan rumah tangga dilaporkan hingga Ogos lepas

KANGAR, 29 Sept - Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Dr Maziah Che Yusoff (tengah) melakukan gimik perasmian Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka PRISMAnita 2026 peringkat negeri Perlis di sini hari ini. - fotoBERNAMA
Dr Maziah (tengah) melakukan gimik perasmian Program Aku Wanita@KRT dan Hari Terbuka PRISMAnita 2026 peringkat negeri Perlis hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KANGAR: Sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara hingga Ogos lepas, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata daripada jumlah itu, Perlis merekodkan 40 kes berbanding 48 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata penurunan itu satu perkembangan positif dan memberikan isyarat jelas bahawa usaha advokasi, kesedaran dan pencegahan perlu diteruskan secara konsisten.

"Namun, angka ini tidak boleh dilihat sebagai statistik semata-mata. Di sebalik setiap kes yang dilaporkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perlindungan, intervensi dan sokongan berterusan.

"Matlamat utama kita adalah untuk membina masyarakat yang lebih peka, berani bertindak dan tegas menolak segala bentuk keganasan rumah tangga," katanya ketika berucap merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka PRISMAnita 2026 peringkat negeri Perlis di sini, hari ini.

Maziah berkata dalam era digital, keganasan rumah tangga turut berlaku melalui penyalahgunaan teknologi dan dalam bentuk ugutan yang mengaibkan melalui apa-apa medium komunikasi.

Beliau berkata eksploitasi ekonomi serta sekatan terhadap pergerakan dan hubungan sosial juga termasuk dalam bentuk keganasan rumah tangga, selain penderaan emosi dan psikologi serta keganasan seksual.

"Keganasan rumah tangga boleh bermula secara halus melalui kawalan secara melampau, ugutan, penghinaan atau sekatan kewangan yang kerap dianggap remeh pada awalnya.

"Justeru, kita perlu peka terhadap isyarat awal, berani keluar untuk mendapatkan bantuan dan menolak tanggapan bahawa keganasan rumah tangga adalah urusan dalaman keluarga yang wajar didiamkan," katanya.

Sementara itu, Maziah berkata penganjuran Aku Wanita@KRT dan Hari Terbuka PRISMAnita antara usaha kerajaan untuk menterjemahkan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030, khususnya dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan wanita peringkat komuniti.

Beliau berkata KPWKM bersama dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menganjurkan program itu bagi membantu masyarakat untuk mengenali tanda dan bentuk keganasan rumah tangga, memanfaatkan saluran bantuan yang ada, menggalakkan mangsa berani bertindak serta membuat laporan demi melindungi diri dan keluarga.

"Hingga 13 Sept lepas, sebanyak 12 program Aku Wanita@KRT telah dilaksanakan di 12 negeri dengan penglibatan hampir 4,300 peserta," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement