MOSCOW: Moscow secara mutlaknya menolak tuduhan Washington dan sekutunya mengenai kerjasama teknikal ketenteraan haram Rusia dengan Korea Utara, menurut jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova pada Jumaat.

Pada sidang akhbar di Moscow, Zakharova berkata Amerika Syarikat (AS) mereka cerita mengenai kerjasama ketenteraan Rusia-Korea Utara untuk mendapatkan sokongan Korea Selatan dalam perang Rusia menentang Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Zakharova berkata pegawai tentera Korea Selatan mula bercakap mengenai bantuan ketenteraan kepada Kiev sejurus selepas khabar angin mengenai kerjasama antara Moscow dan Pyongyang muncul.

Beliau berkata AS menyebarkan gosip untuk mencari sumber tambahan untuk mengisi semula depot senjata Ukraine selain untuk membangunkan infrastruktur ketenteraan di rantau Asia Pasifik.

"Rusia mempunyai hak untuk membangunkan hubungan mesra dengan Korea Utara. Kerjasama dengan negara ini mempunyai asas sejarah yang lama, tidak mengancam keselamatan negara jiran dan telah melalui pelbagai ujian," katanya.

Mengenai rancangan NATO untuk mengadakan latihan ketenteraan berskala besar, Steadfast Defender 2024, berhampiran sempadan Rusia, Zakharova menyifatkannya sebagai "provokatif."

"Langkah ini sengaja bertujuan untuk memburukkan keadaan dan meningkatkan risiko insiden ketenteraan dan, akibatnya, boleh membawa kepada akibat tragis untuk Eropah," katanya.

Berdasarkan rancangan itu, kumpulan tentera dengan kekuatan 90,000 orang dari 31 negara anggota NATO dan Sweden akan tinggal berbulan-bulan berhampiran sempadan Rusia, di wilayah dari Norway ke Romania, katanya.

"Pihak Rusia tidak mempunyai rancangan untuk menyerang negara-negara NATO," katanya.

Zakharova juga mengkritik penyertaan Sweden dalam NATO, yang mungkin berlaku tidak lama lagi, dan berkata ia akan mempunyai "kesan yang sangat negatif" terhadap kestabilan di Eropah Utara dan wilayah Baltik

"Meninggalkan dasar ketenteraan tidak memihak dengan menyertai barisan blok yang secara terbuka memusuhi Rusia, tidak mungkin akan mengukuhkan rasa selamat dalam kalangan rakyat Sweden biasa," katanya.

Rusia akan mengambil langkah tindak balas akan risiko yang dibawa oleh penyertaan Sweden dalam NATO, dengan langkah konkrit yang diambilnya bergantung kepada sistem yang akan digunakan oleh NATO di Sweden, katanya.

-- BERNAMA