Skip to main content

Malaysia

Pertemuan Anwar-Xi jadi tumpuan utama hari terakhir lawatan PM di Shenzhen

Pertemuan dengan Xi itu akan melengkapkan rangkaian program Anwar di Shenzhen. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
Pertemuan dengan Xi itu akan melengkapkan rangkaian program Anwar di Shenzhen. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim

Ringkasan AI

  • Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping menjadi acara utama hari terakhir lawatan di Shenzhen.
  • Mesyuarat itu membincangkan hubungan Malaysia-China dan langkah memperkukuh kerjasama dua hala, dihadiri delegasi Malaysia termasuk menteri kanan dan pegawai kerajaan.
  • Lawatan Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap penglibatan serantau dan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta diplomatik di peringkat global.
Advertisement

SHENZHEN: Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China Xi Jinping akan menjadi acara utama pada hari terakhir lawatan beliau di Shenzhen hari ini, sebelum berangkat pulang selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.

Dijadual berlangsung pada 11.30 pagi di Rumah Tamu Negara Qilin Villa, pertemuan itu akan menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan Malaysia-China serta meneroka langkah untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Pertemuan itu merupakan acara rasmi terakhir Anwar di Shenzhen sebelum beliau berangkat pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada 12.30 tengah hari.

Advertisement

Pertemuan itu turut dihadiri anggota delegasi Malaysia, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pegawai kanan Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Perdana Menteri serta Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Pertemuan dengan Xi itu akan melengkapkan rangkaian program Anwar di Shenzhen, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC serta beberapa pertemuan dengan wakil perniagaan dan pemimpin negara bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik Malaysia.

Advertisement

Program beliau turut merangkumi pertemuan dengan wakil sektor perniagaan, pertemuan dengan Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-chiu serta penyertaan dalam Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China.

Lawatan Anwar mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap penglibatan aktif di peringkat serantau dan usaha memperkukuh kerjasama dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta geopolitik global.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement