DUNIA
Rusuhan Indonesia: Ketua perisikan dipanggil Presiden Prabowo, sahkan situasi terkawal

Muhammad Herindra (foto) menegaskan bahawa keadaan semasa di Indonesia adalah selamat. -Gambar fail/Facebook
JAKARTA: Ketua Badan Intelijen Negara (BIN), Muhammad Herindra, menegaskan bahawa keadaan semasa di Indonesia adalah selamat meskipun protes besar-besaran masih berlangsung di beberapa wilayah sejak 25 Ogos lalu.
Ringkasan AI
- Ketua BIN dan Bappisus tegaskan keadaan Indonesia selamat walaupun protes besar-besaran masih berlangsung sejak 25 Ogos.
- Presiden Prabowo arah semua kementerian dan agensi buka ruang dialog dengan rakyat untuk tangani isu elaun Parlimen.
- Kerajaan batalkan elaun perumahan ahli Parlimen dan kenakan moratorium lawatan rasmi ke luar negara susulan kemarahan awam.
Kenyataan sama turut diberikan Ketua Badan Kawalan Pembangunan dan Siasatan Khas (Bappisus), Aris Marsudiyanto, yang memaklumkan semua lapisan masyarakat kini bersatu dalam usaha mengekalkan keamanan.
“Semua elemen bangsa telah terlibat. Semalam, semua organisasi keagamaan bersatu. Keadaan adalah selamat,” katanya.
Aris turut memaklumkan bahawa Presiden Prabowo sentiasa menekankan kepentingan perpaduan sebagai kunci kemajuan negara.
Beliau berkata Prabowo telah mengarahkan semua kementerian dan agensi membuka ruang dialog dengan rakyat, termasuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“Presiden mahu semua pihak mendengar suara rakyat. Dialog telah dimulakan,” katanya sambil menyeru media agar melaporkan perkara positif dan tidak hanya menumpukan kepada unsur keganasan.
Gelombang protes tercetus susulan cadangan kenaikan elaun ahli parlimen yang dianggap tidak wajar dalam keadaan ekonomi rakyat yang mencabar.
Ketegangan memuncak apabila seorang penunggang motosikal penghantaran, Affan Kurniawan, maut dirempuh kenderaan taktikal polis pada 28 Ogos, mencetuskan kemarahan awam.
Menurut laporan Tempo, sekurang-kurangnya 10 kematian direkodkan sepanjang demonstrasi yang merebak ke beberapa bandar utama sehingga awal September.
Sebagai respons, Presiden Prabowo telah memanggil pemimpin parti politik dan organisasi keagamaan untuk rundingan tertutup.
Hasilnya, kerajaan memutuskan untuk membatalkan elaun perumahan ahli parlimen dan mengenakan moratorium ke atas lawatan rasmi ke luar negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami