DUNIA
Rusuhan Indonesia: Lima anggota DPR 'dinonaktif' susulan kenyataan kontroversi

Tindakan itu diambil selepas demonstrasi besar-besaran tercetus di lebih 15 wilayah, termasuk Jakarta dan Surabaya. -Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Lima anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia telah 'dinonaktifkan' oleh parti masing-masing berkuat kuasa 1 September 2025, susulan kenyataan mereka yang mencetuskan kemarahan rakyat berhubung isu gaji dan tunjangan perumahan ahli parlimen.
Ringkasan AI
- Lima anggota DPR Indonesia dinonaktifkan oleh NasDem, PAN dan Golkar susulan kenyataan kontroversi berhubung gaji dan tunjangan perumahan.
- Tindakan itu diambil selepas demonstrasi besar-besaran tercetus di lebih 15 wilayah, termasuk Jakarta dan Surabaya.
- Pemerhati mempersoalkan istilah penonaktifan yang tidak wujud dalam Undang-Undang MD3, menyifatkannya sebagai langkah sementara tanpa proses PAW.
1. Ahmad Sahroni (NasDem) – Wakil Ketua Komisi III DPR RI, digugurkan selepas kenyataannya yang menyebut gagasan pembubaran DPR sebagai “ide orang tolol” mencetuskan kemarahan awam. Kediamannya di Tanjung Priok turut dijarah oleh kumpulan tidak dikenali.
2. Nafa Urbach (NasDem) – Anggota Komisi IX DPR RI, selebriti yang menjadi wakil rakyat ini dikritik selepas mempertahankan tunjangan perumahan DPR sebanyak Rp50 juta sebulan sebagai “wajar dan tidak membebankan rakyat”.
3. Eko Hendro Purnomo (Eko Patrio) (PAN) – Pelawak dan anggota DPR dari Fraksi PAN, dinonaktifkan selepas kenyataannya yang dianggap tidak sensitif terhadap keresahan rakyat. Beliau telah memohon maaf secara terbuka di media sosial.
4. Surya Utama (Uya Kuya) (PAN) – Anggota Komisi IX DPR RI, turut dinonaktifkan bersama Eko Patrio atas alasan yang sama. Kediamannya dilaporkan menjadi sasaran vandalisme oleh penunjuk perasaan.
5. Adies Kadir (Golkar) – Wakil Ketua DPR RI, digugurkan selepas kenyataannya mengenai kelayakan tunjangan DPR dianggap tidak selari dengan semangat reformasi dan kepekaan sosial.
Menurut Ketua Mahkamah Kehormatan Dewan (MKD), Nazaruddin Dek Gam, anggota yang dinonaktifkan tidak lagi dibenarkan menjalankan tugas rasmi di DPR dan tidak layak menerima kemudahan serta tunjangan sebagai wakil rakyat.
Namun, beberapa pemerhati seperti Forum Masyarakat Peduli Parlemen Indonesia (Formappi) mempersoalkan istilah “penonaktifan” yang tidak wujud dalam Undang-Undang MD3, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah sementara untuk meredakan tekanan awam tanpa proses Pergantian Antarwaktu (PAW).
Demonstrasi yang tercetus akibat isu tunjangan mewah dan kenyataan kontroversi wakil rakyat telah merebak ke lebih 15 wilayah, termasuk Jakarta, Medan, Surabaya dan Makassar, dengan beberapa insiden rusuhan dan kerosakan harta awam dilaporkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami