DUNIA
Rusuhan Indonesia: Wakil rakyat jangan tonjol kemewahan di saat ekonomi tertekan - Jusuf Kalla

Jusuf mengingatkan para anggota DPR RI supaya sedar diri dan peka terhadap kesulitan ekonomi yang sedang dialami rakyat. - Foto Instagram/Jusuf Kalla
JAKARTA: Naib Presiden ke-10 dan ke-12 Republik Indonesia, Jusuf Kalla mengingatkan para anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia supaya sedar diri dan peka terhadap kesulitan ekonomi yang sedang dialami rakyat.
Ringkasan AI
- Jusuf Kalla ingatkan anggota DPR supaya hentikan gaya hidup mewah kerana ia mencetuskan kemarahan rakyat ketika ekonomi negara sedang sukar.
- Protes tercetus selepas pendedahan elaun perumahan 580 Ahli Parlimen sebanyak 50 juta rupiah sebulan, hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta, di samping isu kenaikan cukai, kos sara hidup dan pemecatan besar-besaran.
- Kemarahan rakyat memuncak selepas seorang pemandu Gojek maut dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi, mencetuskan rusuhan termasuk serangan ke atas ibu pejabat polis dan pembakaran bangunan.
"Jadi, hentikanlah ucapan atau tindakan yang menyakiti hati rakyat.
"Masyarakat juga perlu memahami, mudah-mudahan perkara ini boleh selesai segera.
"Jika tidak dihentikan dan terus berlarutan, keadaan ekonomi akan bertambah parah, pendapatan rakyat semakin merosot, dan hidup menjadi lebih susah," ujar Jusuf menerusi satu hantaran video pada Ahad.
Tunjuk perasaan di Indonesia tercetus susulan pendedahan bahawa 580 Ahli Parlimen menerima elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (kira-kira RM13,000).
Jumlah tersebut hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta, dan 20 kali ganda di kawasan luar bandar.
Dalam suasana ekonomi yang mencengkam, rakyat republik itu melihat elaun ini sebagai simbol ketidakseimbangan dan ketamakan elit politik.
Kemarahan memuncak selepas insiden tragis melibatkan seorang pemandu teksi motosikal atau Gojek bernama Affan Kurniawan, yang terbunuh akibat dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di ibu negara baru-baru ini.
Insiden menjadi pencetus kepada rusuhan yang lebih besar, termasuk serangan terhadap ibu pejabat polis dan pembakaran bangunan di kawasan Kwitang.
Selain isu elaun, rakyat turut membantah kenaikan cukai harta tanah, kos pendidikan dan makanan yang melambung, serta pemecatan besar-besaran di sektor swasta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami