VLADIVOSTOK: Penyambungan semula penerbangan terus kekal sebagai keutamaan dalam kerjasama antara Rusia dan Malaysia, kata Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov pada mesyuarat suruhanjaya antara kerajaan kedua-dua negara yang dipengerusikan bersama oleh beliau, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Mesyuarat kelima Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan bermula di Vladivostok pada Khamis.
"Hubungan pengangkutan dan logistik terus berkembang dengan stabil, manakala laluan pengangkutan maritim baharu telah dibuka antara kedua-dua negara. Penyambungan semula penerbangan terus kekal sebagai keutamaan," kata Falkov.
Beliau berkata pertukaran pelancong menunjukkan perkembangan positif. Tahun lepas, seramai 140,000 warga Rusia melawat Malaysia, jumlah tertinggi pernah direkodkan. Bilangan pelancong Malaysia ke Rusia juga semakin meningkat.
"Teknologi digital adalah satu lagi bidang yang berpotensi. Kami maklum bahawa Malaysia sedang giat membangunkan bidang ini. Syarikat Rusia bersedia berkongsi kepakaran mereka dalam pendigitalan dan pembangunan bandar.
"Kami percaya pertukaran pengalaman secara langsung antara bandar dan wilayah kedua-dua negara mengenai pelaksanaan penyelesaian bandar pintar akan memberi manfaat," kata Falkov.
Beliau turut menyatakan kepentingan kerjasama dalam bidang kemanusiaan serta menekankan kemajuan dalam memperkukuh hubungan pendidikan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI