Satu per lima daripada tenaga kerja Jepun berdepan risiko’ maut akibat kerja berlebihan’, kata kaji selidik kerajaan mengenai budaya kerja yang teruk di negara itu.

Ratusan kes kematian yang berhubung kait dengan kerja yang terlalu banyak – seperti strok, serangan jantung dan bunuh diri – dilaporkan setiap tahun di Jepun.

Ia turut diiringi masalah-masalah kesihatan lain yang serius, sehingga dalam beberapa kes mencetuskan tindakan guaman serta seruan untuk menangani masalah tersebut.

Kaji selidik itu merupakan sebahagian daripada kertas kerja sulung negara itu mengenai ‘karoshi’, yang bermaksud ‘kematian akibat kerja berlebihan’, yang diperkenalkan Perdana Menteri Shinzo Abe pada Jumaat lalu.

Di Jepun, masih ramai yang menghabiskan lebih banyak masa di pejabat berbanding bersama keluarga atau rakan-rakan di luar.

Berdasarkan kertas kerja itu, 22.7 peratus syarikat yang diselidik antara Disember 2015 dan Januari 2016 menunjukkan terdapat pekerja mereka yang merekodkan lebih daripada 80 jam kerja lebih masa setiap bulan.

Pendedahan maklumat itu menunjukkan betapa serius risiko ‘kematian akibat kerja berlebihan’.

Laporan itu menambah, kira-kira 21.3 peratus pekerja Jepun secara purata bekerja selama 49 jam atau lebih setiap minggu. Angka itu melebihi 16.4 peratus yang direkodkan di Amerika Syarikat, 12.5 peratus di Britain dan 10.4 peratus di Perancis.

Kajian itu merumuskan bahawa pekerja Jepun juga mengalami tahap tekanan tinggi berkaitan tugas di pejabat, hingga memaksa syarikat-syarikat memperbaiki persekitaran kerja.