SUDAH empat kali mengadakan lawatan ke tiga wilayah yang menjadi zon konflik, sejak pencetusnya bermula, iaitu rampasan di gudang senjata milik tentera di Chai-airong, Narathiwat, pada pagi 6 Januari 2004.
Sepanjang empat kunjungan (2006, 2007, 2009 dan 2013) ke tiga wilayah bergolak itu, ada kesimpulan berserta persoalan selepas pulang: Bilakah akan reda serangan yang berlaku bertali arus itu? Kalau tiada aman, bolehkah Narathiwat, Yala dan Pattani kecapi pembangunan ekonomi?
Selepas hampir 7,000 nyawa melayang - dengan anak hilang pemandu hidup, isteri tiada tempat bergantung, bilangan imam dan agamawan susut di muncung senjata - perkembangan demi perkembangan di tiga wilayah di negara seberang perbatasan saya ikuti dengan rapat dalam kerancakan isu-isu lain yang lebih rencam.
Dalam garis waktu selepas 2013 sejak kali terakhir lawatan ke tiga wilayah berkenaan, ada banyak perubahan dicatat di Narathiwat, Yala dan Pattani. Dalam hal ini, ada pesanan dikirim sumber di negara jiran itu. Menurutnya, tiga wilayah itu turut sama rancak dalam kepesatan pembangunan menjejaki kawasan-kawasan lain dalam Thailand.
"Selatan Thailand tidak seperti dulu lagi,'' kata Abe Mat ringkas, semasa saya temuinya bagi menjejaki cerita terbaharu dari selatan Thailand menerusi misi Jejak Realiti Selatan.
Untuk rekod, Jejak Realiti Selatan bermula 7 hingga 13 Januari 2020, bermatlamat melihat dan menterjemah semula siri keganasan yang berlaku di tiga wilayah di selatan Thailand.
Sementara itu, kata Abe Mat, di Narathiwat misalnya, sudah lama tiada perintah berkurung, bermakna selepas matahari turun dan suasana menjadi gelap sekali pun, tempat-tempat makan kekal bermandi cahaya seolah-olah malam kekal muda, satu pemandangan yang tiada miripnya semasa kunjungan kali terakhir saya pada 2013.
Dalam hal ini, saya boleh bersetuju dengan Abe Mat kerana pertamanya, semasa di sana, saya melihat ada petunjuk menyokong kenyataan beliau.
Kedai-kedai tomyam kekal dibuka sehingga jam 11 malam - pemandangan sama boleh dilihat di mana-mana lokasi di Malaysia. Petandanya, ia selamat, tanpa ragu-ragu akan adanya tembakan atau kes keganasan. Ini tidak pernah berlaku semasa empat kunjungan saya ke sana. Sebelum ini, jam 7 malam, sudah perlu diam di bilik penginapan dan jika terdesak mahukan sesuatu, perlu berteman serta dikawal askar bersenjata. Malah, kalau peranan media dipegang, mahu buat liputan di luar tempat menginap memang jauh sekali jadi kenyataan. Tetapi sepanjang misi, lebih tiga kali lintas langsung diadakan, di tiap-tiap wilayah yang bergolak itu.
Apa makna itu semua? Ertinya, dekad baharu ini di Narathiwat, Yala dan Pattani, tidak begitu - pada pemerhatian saya semasa misi Jejak Realiti Selatan.
Malah, kalau tempat makan jadi pengukur perubahan serba-serbi segar di selatan Thailand di dekad baharu ini, nah, terdapat juga kedai kopi sentuhan hipster, kopitiam yang dibuka dalam deretan kedai jualan murah, barang permainan serta tekstil. Siapa kata selatan Thailand tidak hipster?
Kini nama-nama kopitiam itu, antaranya, Ping Ping Sawadee, Inanam dikunjungi ramai, bukan sahaja golongan muda yang hipster tetapi juga kalangan golongan lain yang enggan ketinggalan dalam dunia hipster.
Dekad baharu ini juga, kesimpulan mudah hasil empat hari memerhati, naratif penduduk selatan Thailand dengan apa yang berlaku sebelum ini, pada dekad terdahulu, sudah banyak berubah. Bukan sahaja anak muda, generasi lama yang fasih berbahasa Melayu sekali pun mula menukar pandangan, apa yang berlaku biar kekal jadi sejarah. Kata mereka, dekad baharu ini, biar jadi waktu untuk dicabar supaya letakkan sejarah itu di kedudukan pemacu bagi teruskan hidup.
Saya melihat, hasil pemerhatian singkat empat hari di wilayah berkenaan di dekad baharu ini, muda-mudi dan generasi hampir emas, rancak berkomunikasi di platform media sosial, wadah mencari, kemudiannya menyebar maklumat.
Ini turut dibuktikan apabila adanya badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di media sosial mempromosikan keamanan dan kedamaian untuk tiga wilayah bergolak dikenali sebagai Southern Boundary Organizatiion atau POSBO.
"Muda-mudi semakin terbuka, pendidikan jadi jalan penentu memilih yang baik dan buruk, benar atau sebaliknya, tipu atau berkata sahih,'' kata Sulaiman Chealea, anak muda menerajui POSBO sejak 10 tahun lalu.
Beliau merujuk kepada proses menelan maklumat - yang asalnya diibarat seperti nasi kerabu apabila menggali punca konflik di selatan Thailand.
BACA: Sukarnya mahu damai di selatan Thailand
BACA: Bimbang ditembak di bumi bergolak, imam berserah kepada Allah
Dekad sebelum ini, yang melimpah maklumat itu, ada mengaitkannya dengan layanan tidak adil Bangkok kepada tiga wilayah. Tidak kurang yang mendakwa, ia kerana sentimen pemisah, di mana Pattani, dahulunya empayar terbilang, mahu keluar daripada Thailand. Dan bukan sedikit puncanya kerana marah serta curiga kepada tentera yang beragama Buddha menekan golongan minoriti beragama Islam.
"Tetapi selepas digali, makin melimpah maklumat yang serba rencam keluar daripada platform. Tekan sahaja di media sosial, semuanya ada, dan muda-mudi boleh memilih untuk menerima, menapis, percaya atau buat tidak tahu sahaja,'' ujar beliau sebelum menambah, POSBO digagaskan untuk menyebar luas suara anak muda yang menerima transformasi di dekad baharu.
Tahap keselamatan merupakan satu lagi persoalan di tiga wilayah dilanda pemberontakan seperti di Narathiwat, Yala dan Pattani. Siapa yang tidak takut ke tiga wilayah ini pada dekad sebelum ini? Saya juga begitu, ada perasaan runsing apabila contohnya, hari ini mendengar ada kes tembakan di Narathiwat, esok gempar Imam di Pattani dicabut nyawa semasa bulan Ramadan, lusa pula terdapat guru dibedil di Yala. Tetapi akhirnya, saya baik-baik sahaja sehingga lawatan pada 2013, terima kasih kepada banyaknya sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan oleh tentera Thailand di sepanjang jalan di tiga wilayah berkenaan.
Tetapi, dekad baharu 2020, semasa kunjungan terkini, saya melihat begitu berkurangnya pos-pos keselamatan dan pusat pemeriksaan ketika melalui jalan di sepanjang misi digerakkan.
"Sudah banyak berkurangan. Kes-kes bunuh, tembak dan bedil-bedilan makin kurang dalam tiga wilayah sejak hampir tujuh tahun lepas. Itu sebabnya kawalan askar Thailand juga sudah tidak lagi seperti dahulu,'' kata Lutfee, seorang penterjemah warga Indonesia, lahir di Thailand.
Saya memahami apa yang cuba disampaikan Lutfee dan saya melihat ada benarnya kenyataan beliau itu.
Sepanjang perjalanan, bermula di sempadan Sungai Golok, menuju ke Pattani, kemudian ke Yala sebelum turun ke Narathiwat dan menutup misi Jejak Realiti Selatan, pada dekad ini, saya rasa lebih selamat menikmati lawatan dengan ria, malah tidak berdebar-debar melihat sekatan jalan raya.
Untuk itu, kalau ada yang mahu tahu khabar apa dibawa dari selatan Thailand dekad baharu ini, saya akan katakan, "Selatan Thailand tidak serupo mulo (tidak seperti dahulu)!" Maka, kunjungi, datang, ziarahlah dengan pemikiran lapang ke tiga wilayah ini, bukan promosi tetapi realiti, kerana ini hasilnya - jejak realiti di selatan.
Dr Azlinariah Abdullah
Sun Jan 19 2020
Salah satu pusat pemeriksaan di sempadan selatan Thai. - Foto Ahmad Zakki Jilan
Tumpuan Sabtu – 14 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (13 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
IPT di negara ini sedia sepenuhnya kuasai AI
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih wifi di tiga IPTA
Sebanyak RM13.7 juta telah diperuntuk bagi meningkatkan akses internet di tiga universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan langkah awal dalam menyelesaikan masalah liputan internet yang telah lama membelenggu institusi pengajian tinggi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan langkah awal dalam menyelesaikan masalah liputan internet yang telah lama membelenggu institusi pengajian tinggi.
MAHB beri peruntukkan RM1.4 juta untuk bantu mangsa banjir
Menerusi kenyataan media oleh MAHB pada jumaat, setakat ini, usaha bantuan ditumpukan di kawasan sekitar tiga lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.
Tujuh suspek kes curi kabel, cuba langgar polis ditahan
Tujuh suspek disyaki dalang kes curi kabel di Jalan Lang Hitam, dekat Manjalara, Kepong di sini pada 4 Disember lalu ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar Kuala Lumpur serta Selangor.
Kes Bayi Beku: Polis akan rakam keterangan pihak hospital terlibat
Polis akan memanggil pihak hospital yang terlibat untuk dirakam keterangan berhubung kejadian tular membabitkan jenazah bayi disimpan dalam peti sejuk mayat di Klang baru-baru ini.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Mohamed al-Bashir pimpin solat Jumaat pertama selepas kejatuhan Assad
Rakyat Syria berkumpul di Masjid Umayyad, Damaskus untuk menunaikan solat Jumaat pertama selepas kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad.
Sawadee: Dekad baharu, selatan Thailand serba-serbi segar
Hasil pemerhatian singkat empat hari di wilayah berkenaan, saya dapati, di dekad baharu ini, muda-mudi dan generasi hampir emas rancak berkomunikasi di platform media sosial dan menyebar maklumat.