DUBLIN: Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Ireland dan ketua parti Fine Gael serta-merta.

Semasa mengumumkan peletakan jawatannya, Varadkar menyifatkan, memimpin negaranya sebagai "masa paling memuaskan dalam hidup saya."

Varadkar yang menjawat jawatan Perdana Menteri pada usia 45 tahun pada 2017 kekal sebagai seorang pemimpin termuda Ireland berkata, beliau merasakan bukan lagi `orang terbaik' untuk memimpin negara.

"Ahli politik adalah manusia. Kami mempunyai batasan. Kami memberikan segala-galanya sehingga kami tidak mampu lagi dan kemudian kami perlu berubah," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Menurut Varadkar, beliau telah "memimpin Ireland daripada pengangguran kepada guna tenaga penuh, daripada defisit bajet kepada lebihan belanjawan, daripada penjimatan kepada kemakmuran".

Beliau turut menyatakan rasa "bangga kerana kami telah menjadikan negara ini tempat yang lebih sama rata dan lebih moden apabila ia berkaitan dengan hak kanak-kanak, komuniti LGBT, kesaksamaan untuk wanita dan autonomi badan mereka."

Semasa menyandang tugas Perdana Menteri, Varadkar turut memperjuangkan referendum untuk mengubah Perlembagaan Ireland yang menghalalkan perkahwinan sejenis dan pengguguran.

Untuk rekod, beliau merupakan Perdana Menteri gay pertama Ireland daripada latar belakang etnik minoriti.

Varadkar juga menyenaraikan tugas meningkatkan kemampuan penjagaan kanak-kanak antara pencapaiannya serta meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk seni dan budaya, pembangunan antarabangsa dan infrastruktur awam.

Dia juga mengakui bahawa "terdapat kawasan di mana kami kurang berjaya" tetapi menambah: "Saya harap anda akan memaafkan saya jika saya menyerahkan kepada orang lain untuk menunjukkan mereka pada hari seperti ini."

Alasan Varadkar berundur dari jawatannya adalah kerana "peribadi dan politik."

Beliau berpendapat, kerajaan sekarang "boleh dipilih semula" dan dalam masa sama menegaskan, beliau "bukan orang terbaik untuk jawatan itu lagi". - Agensi