COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen meluahkan rasa kecewa selepas menerima nasihat kecantikan yang tidak diminta daripada seorang pakar bedah plastik menerusi Instagram.
Frederiksen, 48, berkata ,beliau baru sahaja pulang daripada lawatan ke Ukraine yang masih berdepan ancaman peperangan dan serangan udara apabila menerima mesej yang menawarkan khidmat untuk memperbaiki "sedikit cela" pada hidungnya.
Dalam hantaran di Instagram pada Isnin, beliau mendedahkan sudah lama menjadi sasaran komen berkaitan penampilannya.
"Saya sudah hilang kiraan berapa banyak mesej yang saya terima selama bertahun-tahun mengenai rupa paras saya.
"Terutamanya yang mengatakan gigi saya kurang teratur, rambut saya nipis, saya mempunyai ketuat yang hodoh pada hidung dan pelbagai nasihat supaya mendapatkan suntikan botox," katanya.
Frederiksen turut memuat naik tangkap layar mesej daripada pakar bedah plastik berkenaan tanpa mendedahkan identitinya.
Beliau kemudian membalas mesej itu dengan nada tegas.
"Oh tidak. Saya gembira dengan tubuh badan saya. Saya benar-benar tidak memerlukan pandangan seorang pakar bedah plastik lelaki mengenainya," katanya.
Pemimpin Parti Demokratik Sosial itu kini menjalani penggal ketiga sebagai Perdana Menteri Denmark, menjadikannya antara pemimpin paling lama berkhidmat dan berpengalaman di Eropah.
Beliau menerajui negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu sejak 2019.
Frederiksen juga dikenali dengan pendirian tegasnya terhadap hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan Greenland serta sokongan berterusan Denmark kepada Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Rusia.
Dalam hantaran sama, Frederiksen menegaskan, beliau tidak pernah mencampuri urusan penampilan orang lain dan menerima dirinya seadanya.
"Saya benar-benar selesa dengan tubuh badan saya, seperti kebanyakan wanita yang menghampiri usia 50 tahun," katanya.
Beliau turut berharap orang ramai menggunakan ruang komunikasi untuk membincangkan perkara yang lebih penting.
"Jika anda mahu menulis kepada saya dan anda sememangnya dialu-alukan untuk berbuat demikian, saya harap anda menggunakan masa itu untuk bercakap mengenai sesuatu yang lebih bermakna. Bukan mengenai hidung saya."
Frederiksen berkata, komen dan cadangan berkaitan kecantikan yang tidak diminta itu membuatkan beliau berasa tidak senang dan marah.
Beliau pada masa sama menitipkan penghargaan kepada individu yang berdepan tekanan serupa berkaitan penampilan fizikal.
"Hari ini saya mengirimkan sokongan dan kasih sayang kepada semua yang terpaksa berdepan dengan apa yang dianggap sebagai kekurangan dalam diri mereka, sedangkan hakikatnya itulah ketidaksempurnaan yang menjadikan kita manusia," katanya. - Agensi