Schumacher tidak lagi terlantar di katil

Michael Schumacher tidak pernah muncul di khalayak ramai selepas terlibat dalam kemalangan ski ngeri di Pergunungan Alps, Perancis pada 2013. - Foto Agensi/Sinar Harian
LEGENDA Formula Satu (F1), Michael Schumacher dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi terlantar di katil, kira-kira 12 tahun selepas kemalangan ski ngeri yang mengubah hidupnya pada 2013.
Ringkasan AI
- Michael Schumacher menunjukkan perkembangan positif dengan kemampuan duduk atas kerusi roda, kira-kira 12 tahun selepas kemalangan ski ngeri pada 2013.
- Schumacher masih menerima penjagaan rapi oleh isterinya dan pasukan perubatan khas, membolehkan beliau keluar menggunakan kerusi roda di sekitar kediamannya di Majorca.
- Spekulasi mengenai tahap keupayaan berkomunikasi Schumacher dinafikan, dengan sumber menyatakan beliau memahami sebahagian perkara di sekelilingnya walaupun tidak sepenuhnya.
Bekas pelumba berusia 57 tahun itu masih menerima penjagaan rapi sepanjang masa oleh isterinya, Corinna Schumacher bersama pasukan perubatan khas.
Keadaan terbaharu itu membolehkan Schumacher dibawa keluar menggunakan kerusi roda di sekitar kediamannya di Majorca serta hartanah keluarga berhampiran Tasik Geneva.
Sejak kemalangan tersebut, Schumacher tidak pernah muncul di khalayak awam, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tahap keupayaannya berkomunikasi.
Bagaimanapun, sumber rapat keluarga menafikan dakwaan beliau hanya mampu memberi reaksi melalui kelipan mata.
“Dia memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, walaupun tidak semuanya,” kata salah seorang sumber.
Sebelum ini, timbul khabar angin Schumacher akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, Gina-Maria pada 2024, namun perkara itu tidak berlaku.
Tahun lalu, tiga bekas pekerja keluarga Schumacher disabitkan kesalahan selepas mengugut untuk mendedahkan gambar peribadi Schumacher dalam keadaan semasa.
Awal bulan ini, Gina-Maria berkongsi foto lama keluarga sebelum kemalangan itu sempena ulang tahun kelahiran bapanya dengan kapsyen penuh emosi: “Yang terbaik untuk selamanya. Selamat hari lahir, papa.”
Schumacher sebelum ini berada dalam koma di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan, namun tempoh itu berlanjutan selama 250 hari.
Selepas sedar pada Jun 2014, beliau dibenarkan keluar dari hospital dan meneruskan rawatan di rumah.
Pada 2019, beliau dilaporkan menjalani rawatan terapi sel stem yang dikendalikan pakar kardiologi terkenal Perancis, Dr Philippe Menasché, dengan tujuan membantu pemulihan sistem saraf.
Selepas rawatan itu, Schumacher dikatakan berada dalam keadaan sedar, meskipun butiran lanjut terus dirahsiakan demi privasi keluarga. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


