LONDON: Kerajaan Scotland memperkenalkan peraturan yang lebih ketat bagi permohonan pusat data kecerdasan buatan (AI) menjelang undian mengenai moratorium bagi projek berkaitan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar The National.
Pusat data baharu dengan kapasiti kuasa melebihi 50 megawatt, yang juga dikenali sebagai pusat "skala hiper", akan diwajibkan mengemukakan penilaian impak alam sekitar pada peringkat perancangan.
Langkah itu diambil menjelang perbahasan yang dijadualkan di Holyrood, iaitu parlimen Scotland.
Wakil rakyat akan membahaskan usul daripada parti Scottish Greens mengenai keperluan pelaksanaan moratorium bagi permohonan perancangan pusat data skala hiper baharu, susulan ura-ura pembinaan kemudahan berskala besar di negara itu.
Usul tersebut menggesa pelaksanaan moratorium bagi permohonan perancangan pusat data skala hiper baharu sehingga strategi nasional dan garis panduan perancangan yang dikemas kini dikeluarkan.
Garis panduan berkenaan kemudiannya mesti mengambil kira "impak kumulatif terhadap permintaan tenaga dan alam sekitar" susulan pembangunan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU