ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Sabtu, Washington bersedia melakukan urusan perniagaan dengan Ukraine dan Rusia selepas perang mereka berakhir, menyatakan harapan bahawa kedua-dua negara akan mencapai perjanjian, lapor Anadolu Ajansi.
Ditanya mengenai minat Rusia untuk melabur dalam sektor gas asli Alaska, Trump berkata, beliau tidak mempunyai komen khusus mengenai cadangan itu tetapi membangkitkan mengenai prospek hubungan ekonomi yang diperbaharui sebaik konflik berakhir.
"Sudah tentu, kami akan menjalankan perniagaan dengan Ukraine dan dengan Rusia selepas perang ini berakhir," kata Trump.
Trump juga menekankan perjanjian dengan Kyiv yang melibatkan sumber semula jadi Ukraine, mengatakan ia boleh bernilai sehingga AS$1 trilion.
Beliau mengaitkan perjanjian itu dengan bantuan AS yang diberikan kepada Ukraine di bawah bekas Presiden Joe Biden, dengan alasan Washington sepatutnya meminta pampasan untuk sokongannya.
-- BERNAMA-ANADOLU