Sekolah dibuka semula buat kali pertama di kawasan Filipina yang mengalami kerosakan teruk akibat taufan yang kuat dua bulan lalu.

Murid-murid dimasukkan ke dalam bilik darjah sementara yang dibina daripada kain terpal dan papan, ada di antara mereka masih lagi dalam keadaan trauma.

Para ibu pula enggan berpisah dengan anak mereka walaupun telah diminta oleh para guru, kata seorang wartawan AFP.

"Hanya 50 peratus daripada hampir 1,000 murid yang kembali bersekolah," kata pengetua Maria Evelyn Encina di kampung San Roque yang terletak berhampiran pusat bandar Tacloban, yang musnah akibat Taufan Haiyan tahun lepas.

Taufan Haiyan yang melanda pada 8 November, membawa angin kuat lebih daripada 315 kilometer sejam, menyebabkan hampir 8,000 mati atau hilang dan hampir 30,000 yang lain cedera.

Empat juta orang kehilangan tempat tinggal, 1.7 juta daripada mereka adalah kanak-kanak, menurut UNICEF.

Agensi berkenaan bersama kumpulan-kumpulan lain mengetuai kempen untuk membantu lebih kurang 550,000 kanak-kanak, dan guru-guru untuk kembali ke sekolah.

"Objektif UNICEF adalah untuk memastikan bahawa kanak-kanak yang terjejas oleh taufan Yolanda (nama tempatan taufan Haiyan) diberikan pembelajaran yang berkualiti secepat mungkin ," kata ketua UNICEF di Filipina, Angela Kearney.

Tambah beliau, dengan anak-anak kembali ke sekolah, ibu bapa mempunyai lebih banyak masa untuk membina semula kehidupan mereka yang telah musnah.