KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO di semua peringkat diseru supaya tidak berdiam diri dalam menangani permasalahan orang Melayu, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Beliau berkata pemimpin Melayu dalam UMNO perlu berani bersuara dan bertindak, bukannya sekadar lantang berkata-kata tanpa tindakan.
"Cakap politik bukan kerana kepentingan diri. Realiti hari ini seolah-olah kita berkuasa tetapi hakikatnya kita tidak ada kuasa," katanya ketika merasmikan mesyuarat tahunan lima cawangan UMNO Bahagian Cheras, di sini hari ini.
Syed Ali berkata kepimpinan atasan parti perlu memberi perhatian terhadap suara akar umbi serta tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan.
Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menutup mata terhadap isu penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.
"Kita perlu lantang dan berani agar kita dihormati. Jangan takut jika kita berada di pihak yang benar dan mewakili orang Melayu," katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap tindakan dan tanggungjawab akan dipersoalkan di akhirat kelak, justeru pemimpin perlu melaksanakan amanah dengan sebaiknya ketika memegang jawatan.
Syed Ali menambah ketegasannya dalam bersuara adalah demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam, khususnya berhubung isu-isu semasa yang menyentuh hak serta sensitiviti masyarakat.
Menyentuh isu semasa pula, beliau berkata pelbagai perkara yang mencabar hak orang Melayu termasuk dalam bidang pendidikan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.
"Kita perlu bertanya, adakah kita mahu berdiam diri dan hanya melihat apa yang berlaku di depan mata?" soalnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu, dengan menyifatkan ia turut menyentuh sensitiviti umat Islam.