BANGKOK: Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian letupan di sebuah kilang bunga api di Suphan Buri kira-kira 120 kilometer di utara Bangkok meningkat kepada 23 orang dengan enam dilaporkan cedera.

Menurut Pejabat Kesihatan Awam Suphan Buri, mangsa yang maut terdiri 12 wanita dan lapan lelaki manakala tiga lagi tidak dapat dikenal pasti.

Kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) dan media tempatan melaporkan ketika kejadian terdapat 30 pekerja di kilang berkenaan.

Ketua Polis Negara Jen Torsak Sukvimol berkata punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Perdana Menteri Srettha Thavisin yang kini berada di Davos untuk menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2024 sudah pun dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau mengarahkan siasatan segera dilancarkan untuk mengenal pasti sama ada kilang itu beroperasi secara sah dan adakah letupan itu disebabkan oleh kecuaian.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa memberikan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.

Pada Julai tahun lalu, 12 orang maut dan 300 cedera dalam insiden letupan di gudang penyimpanan bunga api di pekan Sungai Kolok di wilayah selatan Narathiwat.

Lebih 3,000 orang daripada 681 keluarga terjejas akibat letupan itu yang turut mengakibatkan 41 kereta dan 27 motosikal musnah.

-- BERNAMA