BOGOTA: Sekurang-kurangnya 99 terbunuh manakala 1,600 orang hilang tempat tinggal akibat kebakaran hutan melanda Wilayah Valparaiso, Chile.

Identiti 32 mayat telah dikenal pasti setakat ini, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa. 

Setakat ini, sebanyak 161 kebakaran direkodkan di seluruh negara, menurut pengarah Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Alvaro Hormazabal.

Pihak berkuasa tempatan menggesa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mengisytiharkan darurat di bandar-bandar yang terjejas teruk.

Lebih 200 orang dilaporkan hilang di Vina del Mar dan kawasan sekitar iaitu kawasan pantai yang popular bagi pelancong semasa cuti musim panas.

Presiden Chile Gabriel Boric memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka meningkat susulan kebakaran masih melanda beberapa kawasan di Valparaiso.

Boric turut mengisytiharkan dua hari berkabung bagi mengenang mangsa terkorban. 

Presiden berkata angin kencang menyukarkan pasukan bomba untuk mengawal kebakaran hutan yang telah merebak hingga 8,000 hektar (19,768 ekar) hutan dan kawasan bandar.

-- BERNAMA