Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya empat maut dalam perlanggaran kereta api di Bekasi

A police officer stands near the damaged train, after two trains collided late on Monday in Bekasi, West Java province, Indonesia, April 28, 2026. REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana
Seorang anggota polis berdiri berhampiran kereta api yang musnah selepas dua kereta api bertembung lewat malam Isnin di Bekasi, wilayah Jawa Barat, Indonesia, 28 April 2026. REUTERS

BEKASI (INDONESIA): Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut manakala puluhan lagi cedera selepas satu peristiwa perlanggaran membabitkan kereta api jarak jauh dan perkhidmatan komuter berlaku di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, lewat malam Isnin.

Menurut kenyataan pihak berkuasa dan syarikat pengendali, 38 penumpang dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan, manakala operasi menyelamat diteruskan hingga lewat malam bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam gerabak yang rosak teruk.

Advertisement

Kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta api diesel jarak jauh Argo Bromo Anggrek merempuh bahagian belakang kereta api KomuterLine (KRL) yang sedang berhenti di landasan 1, menuju ke Cikarang.

Gerabak paling teruk terjejas dilaporkan merupakan gerabak khas wanita milik kereta api komuter berkenaan.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, memaklumkan siasatan rasmi telah dimulakan bagi mengenal pasti punca insiden, dengan tumpuan kepada kemungkinan kegagalan prosedur operasi atau sistem isyarat yang membolehkan dua tren berada di landasan sama.

Syarikat pengendali Kereta Api Indonesia (KAI) mengesahkan bahawa kesemua 240 penumpang tren jarak jauh dilaporkan selamat, manakala bekalan elektrik di laluan terjejas terpaksa dihentikan sementara bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dengan selamat.

Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) turut mengerahkan pasukan khas lengkap dengan peralatan pemotongan logam, susulan laporan masih terdapat penumpang yang terperangkap dalam struktur gerabak yang remuk.

Kerja-kerja pembersihan dan pemulihan masih dijalankan menyebabkan perkhidmatan rel di koridor Bekasi–Cikarang terganggu, sementara KAI memohon maaf kepada pengguna atas kesulitan yang dialami.

Pihak berkuasa memberi amaran jumlah korban berkemungkinan meningkat selagi proses pengesahan dan evakuasi belum selesai sepenuhnya.

Insiden itu kembali menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan sistem perkeretaapian di Indonesia, yang beberapa kali mencatat kemalangan serius dalam tempoh sedekad lalu.

Must Watch Video