PAWTUCKET: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan empat lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah gelanggang hoki ais di Pawtucket, Rhode Island, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut stesen WJAR yang memetik Pejabat Datuk Bandar Pawtucket.
Suspek turut disahkan maut di lokasi.
Advertisement
Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) berkata ejennya turut dikerahkan bagi membantu pihak penguatkuasa undang-undang tempatan dalam siasatan.
Menurut WJAR, dua pasukan hoki sekolah sedang bertanding di Arena Dennis M. Lynch ketika tembakan dilepaskan.
Pasukan yang terlibat termasuk gabungan Coventry-Johnston dan gabungan St. Raphael–Providence Country Day–North Providence–North Smithfield.
Pihak Sekolah Coventry dalam satu emel kepada komuniti sekolah memaklumkan bahawa mereka menyedari mengenai “insiden serius” yang berlaku dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat sahih.
“Siasatan masih berjalan,” menurut mesej tersebut.
Sementara itu, Akademi Saint Raphael menyatakan bahawa berlaku “insiden ngeri melibatkan penembak aktif”, namun mengesahkan bahawa tiada ahli komuniti SRA yang cedera.
Arena Dennis M. Lynch, terletak di Pawtucket kira-kira lima batu di utara Providence, menjadi tumpuan operasi kecemasan dengan kehadiran besar anggota polis dan penyiasat persekutuan.
Tali kuning dipasang di pintu masuk dan orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan tersebut.
Beberapa saksi dilaporkan berlari ke sebuah farmasi berhampiran dalam keadaan panik dan meminta bantuan, menurut laporan WPRI.
Sehingga kini, identiti suspek belum didedahkan, dan keadaan empat mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.
Pihak berkuasa persekutuan dan tempatan terus menyiasat motif serta kronologi insiden.