RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 45 lagi cedera apabila sebuah bas terbalik di lebuh raya persekutuan di negeri Sao Paulo, tenggara Brazil, pada awal pagi Isnin, lapor Xinhua.
Menurut Polis Lebuh Raya Persekutuan Brazil, bas yang melalui lebuh raya persekutuan BR-153 itu membawa pekerja luar bandar apabila satu daripada tayarnya meletup.
Advertisement
Pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan tersebut, menyebabkan ia terkeluar dari jalan dan terbalik.
Polis memaklumkan semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Penumpang berkenaan berlepas dari negeri Maranhao di timur laut Brazil dan menuju ke negeri Santa Catarina di selatan bagi musim menuai epal.
Sekretariat Keselamatan Awam Negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan berkata Polis Sivil sedang mengenal pasti mangsa dan individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu.
Syarikat bas berkenaan juga telah dikenal pasti, dan punca sebenar kemalangan masih belum ditentukan.
-- BERNAMA-XINHUA