DUNIA
Sekurang-kurangnya 85 terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza

Sejak Oktober 2023, lebih 59,100 rakyat Palestin terbunuh akibat kempen ketenteraan Israel. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh manakala ramai lagi cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak awal Selasa, lapor Anadolu Ajansi memetik sumber perubatan.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 85 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan udara dan darat Israel sejak awal Selasa, melibatkan kawasan kediaman, pusat bantuan, kem pelarian dan sekolah.
- Korban termasuk wanita, kanak-kanak dan orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, dengan insiden tragik berlaku di Zikim, Shati, Zeitoun dan Khan Younis.
- Sejak Oktober 2023, lebih 59,100 rakyat Palestin terbunuh akibat kempen ketenteraan Israel yang turut melumpuhkan infrastruktur penting, mencetuskan krisis kesihatan dan kekurangan makanan.
Seramai 12 rakyat Palestin turut terkorban ketika sedang menunggu trak bantuan berhampiran kawasan Zikim di utara Beit Lahia yang kini dikuasai Israel.
Di kejiranan al-Tuffah di timur Gaza, seorang penduduk maut akibat serangan dron.
Tujuh lagi terbunuh termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam berhampiran Masjid Ali di kawasan Zeitoun, tenggara Gaza.
Pesawat tempur Israel turut mengebom khemah yang menempatkan pelarian di kem Shati, mengorbankan 16 orang dan mencederakan lebih 25 yang lain, menurut pasukan perubatan.
Menurut agensi berita rasmi Palestin (WAFA), mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak dibawa ke Hospital Al-Shifa di bandar yang sama susulan serangan udara pada awal pagi itu.
Seorang lagi pemuda Palestin turut terbunuh selepas tentera Israel menyerang sekumpulan penduduk yang sedang menunggu bantuan di barat Bandar Gaza.
Jet pejuang Israel juga mengebom kawasan berhampiran sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di Zeitoun, menyebabkan empat mangsa terkorban.
Dua pemuda Palestin terbunuh dalam serangan di kawasan Ber al-Naaja di utara Gaza.
Tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan di pusat agihan bantuan tajaan AS berhampiran Koridor Netzarim di Gaza tengah, menyebabkan tujuh orang maut.
Di kem pelarian Bureij, dua beradik terbunuh dalam satu lagi serangan udara.
Sementara itu, lapan lagi penduduk maut akibat serangan darat dan udara di bandar Deir al-Balah.
Di selatan Gaza, tiga orang maut dalam serangan di Khan Younis, manakala dua lagi terbunuh ketika menunggu bantuan berhampiran pusat agihan di barat Rafah.
Sejak Oktober 2023, lebih 59,100 rakyat Palestin terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza. Serangan berterusan turut memusnahkan infrastruktur di wilayah itu, menyebabkan sistem kesihatan lumpuh dan krisis makanan yang teruk.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami