Sekurang-kurangnya lima maut selepas Ribut Kristin melanda Portugal

Beberapa kenderaan dilihat rosak selepas akibat runtuhan bangunan ketika Ribut Kristin melanda Figueira da Foz, Portugal. - Foto AP
LISBON: Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan terbunuh selepas Ribut Kristin melanda Portugal, mengakibatkan kerosakan besar di beberapa wilayah termasuk kawasan tengah dan utara negara itu, menurut pihak berkuasa pada Rabu.
Ribut berkenaan membawa angin kencang dengan kelajuan mencecah sehingga 150 kilometer sejam, disertai hujan lebat dan salji di beberapa kawasan, menyebabkan pokok tumbang, bumbung bangunan runtuh serta gangguan besar kepada infrastruktur awam.
Salah satu kematian dilaporkan berlaku apabila sebuah kereta dihempap pokok tumbang di kawasan Vila Franca de Xira, berhampiran Lisbon.
Di daerah Leiria, pihak berkuasa tempatan mengesahkan beberapa kematian susulan kejadian struktur runtuh akibat angin kuat.
Datuk Bandar Leiria, Gonçalo Lopes, menyifatkan kejadian itu sebagai antara hari paling gelap dalam sejarah bandar tersebut.
Ribut Kristin turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik berskala besar, dengan lebih 800,000 pengguna terputus bekalan di seluruh Portugal.
Pengendali grid tenaga negara memaklumkan usaha pemulihan sedang dijalankan, namun memberi amaran keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi.
Selepas melanda Portugal, Ribut Kristin bergerak ke Sepanyol dan mencetuskan amaran cuaca tahap merah di beberapa wilayah berikutan risiko angin kencang, hujan lebat dan salji.
Pihak berkuasa di kedua-dua negara menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ketika keadaan cuaca ekstrem berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


