DUNIA
AS, sekutu kurangkan misi ketenteraan di Iraq

Amerika Syarikat dan rakan sekutunya akan mengurangkan misi ketenteraan mereka di Iraq. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan rakan sekutunya akan mengurangkan misi ketenteraan di Iraq, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pengumuman Pentagon pada Selasa.
"Selaras dengan arahan Presiden dan sejajar dengan Suruhanjaya Ketenteraan Tertinggi AS-Iraq serta kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 27 Sept 2024, Amerika Syarikat dan rakan sekutunya akan mengurangkan misi ketenteraan mereka di Iraq," kata Ketua Jurucakap Pentagon Sean Parnell dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pengurangan itu mencerminkan kejayaan bersama dalam memerangi Daesh serta usaha lebih luas untuk beralih kepada perkongsian keselamatan jangka panjang antara AS dan Iraq.
"Perkongsian ini akan menyokong keselamatan AS dan Iraq, mengukuhkan keupayaan Iraq untuk meneruskan pembangunan ekonomi, menarik pelaburan asing serta memainkan peranan utama di rantau ini," katanya.AS akan terus mengekalkan koordinasi rapat dengan Baghdad dan rakan ssekutu bagi memastikan peralihan berjalan secara bertanggungjawab dan teratur.
Ketika ini, AS menempatkan kira-kira 2,500 anggota di beberapa pangkalan utama di Iraq.
AS dan Iraq sebelum ini mencapai persetujuan untuk pengunduran pasukan yang diketuai AS dari Iraq menjelang akhir 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami