MONTREAL: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pada Ahad memaklumkan, beliau mengadakan "perbualan yang baik" dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung hubungan perdagangan kedua-dua negara yang semakin tegang susulan pelaksanaan tarif meluas oleh Washington terhadap negara jirannya itu.
Carney menerusi media sosial berkata, perbincangan terbaharu itu meneruskan siri rundingan membina yang telah diadakan sebelum ini berkaitan kerangka perjanjian perdagangan yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
"Pasukan kami akan bekerja dalam beberapa minggu akan datang bagi merealisasikan matlamat tersebut," katanya.
Dalam penggal kedua pentadbirannya, Trump telah mengubah landskap perdagangan global menerusi pelaksanaan tarif terhadap sekutu dan pesaing AS, dengan Kanada yang merupakan antara rakan dagang terbesar negara itu sering menjadi sasaran dasar berkenaan.
Rundingan perdagangan peringkat tinggi antara kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat pada Ogos lalu, mendorong Trump mengenakan pelbagai tarif baharu, walaupun sebahagiannya kemudian ditarik balik menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS yang penting.
Kos sara hidup menjadi antara isu utama yang mempengaruhi pengundi, manakala tarif yang diperkenalkan Trump turut menyumbang kepada peningkatan inflasi di seluruh negara.
Tarif yang dikuatkuasakan selepas kegagalan rundingan Ogos itu menjejaskan barangan bernilai kira-kira AS$20 bilion, melibatkan pelbagai produk daripada kayu hoki hingga simen.
Sebagai tindak balas, Kanada mengenakan tarif terhadap jumlah produk AS yang setara, sebelum Trump membalas dengan satu lagi pusingan tarif sehingga 50 peratus ke atas beberapa barangan tertentu.
Minggu lalu, Trump berkata, beliau menjangkakan satu perjanjian perdagangan baharu dengan Kanada dapat dicapai dalam masa terdekat, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Pada Ahad, Trump mengesahkan perbincangan terbaharu dengan Carney dan berkata pegawai kedua-dua negara kini mempunyai "konsep perjanjian yang sangat baik" untuk dimuktamadkan.
"Kita mempunyai konsep perjanjian yang akan memberi manfaat besar kepada petani kita, negara kita, dan ia juga baik untuk Kanada," katanya kepada pemberita menjelang acara kempen pilihan raya pertengahan penggal di Iowa.
Trump turut memaklumkan bahawa perjanjian perdagangan itu akan merangkumi pembinaan saluran paip Keystone XL, projek yang lama dibantah oleh kumpulan aktivis alam sekitar dan dibatalkan ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Pada masa sama, dasar perdagangan Trump yang sering menimbulkan ketidaktentuan mendorong Kanada memperkukuh hubungan dengan rakan sekutu lain.
Jumaat lalu, Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada mengumumkan satu pakatan baharu yang bakal menyaksikan Ottawa menjadi "anggota bersekutu" pertama blok tersebut, meskipun terdapat beberapa perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota EU mengenai penggunaan istilah berkenaan. - Agensi