Skip to main content

Dunia

Selepas dikritik AS, PM UK berbincang dengan Trump mengenai perang di Iran

US President Donald Trump and British Prime Minister Keir Starmer look at each other as they shake hands during a press conference at Chequers near Aylesbury, England on Sep 18, 2025. (Photo: AP/Leon Neal)
Perdana Menteri Starmer (kanan) dan Presiden Trump, mengadakan panggilan telefon pada Ahad bagi membincangkan perkembangan terkini perang di Asia Barat. - Gambar fail AP

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengadakan panggilan telefon pada Ahad bagi membincangkan perkembangan terkini perang di Asia Barat, menurut kenyataan kerajaan United Kingdom (UK).

Perbincangan itu berlangsung selepas Starmer menerima kritikan pedas daripada Trump berhubung keengganan awal Britain terlibat dalam operasi ketenteraan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

Advertisement

Menurut Downing Street, kedua-dua pemimpin memulakan perbualan dengan meneliti situasi semasa di Asia Barat serta tahap kerjasama ketenteraan UK-AS melalui penggunaan pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) bagi menyokong pertahanan sekutu di rantau tersebut.

Starmer turut menyampaikan ucapan takziah kepada Trump dan rakyat AS susulan kematian enam anggota tentera Amerika.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada mereka membincangkan ketegangan hubungan yang tercetus dalam seminggu terakhir ini.

Starmer sebelum ini berusaha memupuk hubungan baik dengan Trump, termasuk memberikan Presiden AS itu lawatan negara kali kedua yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemimpin lain. 

Namun, hubungan kedua-duanya menjadi tegang apabila Starmer pada awalnya enggan membenarkan penggunaan pangkalan tentera Britain untuk serangan pertama AS terhadap Iran.

Beliau kemudian menukar pendirian dan bersetuju membenarkan dua pangkalan tentera UK digunakan bagi tujuan “pertahanan khusus dan terhad.”

Pesawat pengebom AS dilaporkan mula beroperasi dari pangkalan Fairford di Gloucestershire serta pangkalan Diego Garcia di Lautan Hindi pada Sabtu.

Trump sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap London sambil menyindir Starmer dengan berkata, “ini bukan Winston Churchill.” 

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau turut menyebut Britain sebagai “sekutu besar kami suatu ketika dahulu” dan menuduh Starmer cuba “menyertai perang selepas kami memenanginya.”

Starmer mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa sebarang tindakan ketenteraan Britain mesti “mempunyai asas undang-undang yang kukuh serta pelan yang jelas.” 

Beliau turut menegaskan, serangan balas Iran ke atas sekutu-sekutu Barat di Asia Barat telah mewajarkan keputusan kerajaan untuk menyokong operasi ketenteraan AS pada tahap terhad. - Agensi

Must Watch Video