'Mencari saudara hilang', 'mencari anak hilang'. Itu antara lambakan poster yang dilekatkan di dinding-dinding bangunan yang masih teguh berdiri di sekitar Kota Palu ini.

Biarpun merasakan mustahil untuk menjumpai kembali anggota keluarga dan saudara-mara yang hilang akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda kota ini lebih 20 hari yang lalu, rata-rata penduduknya masih menaruh harapan agar mereka dipertemukan semula, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia.

"Mudah-mudahan kita bisa (dapat) ketemu (berjumpa)," luah Mohamad Rudy, 54, warga Kalukubalu, di sini yang jelas begitu berharap dapat menemui sembilan saudaranya yang dihanyutkan tsunami pada 28 Sept lepas.

"Saudara saya hilang selepas rumah mereka di Perumnas (Pembangunan Perumahan Nasional) di Mamboro, Palu Utara tenggelam dalam amukan tsunami.

"Sehingga kini belum ada khabar berita, semoga mereka selamat dan kami kembali bertemu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, Mohamad Rudy berkata perkara itu semuanya adalah kehendak Allah, dan reda sekiranya sembilan saudaranya itu sudah ditentukan terkorban dalam musibah berkenaan.

Bagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 48, beliau amat berharap agar kakak dan adik lelakinya selamat daripada sebarang perkara tidak diingini biarpun sehingga kini tidak mengetahui apakah nasib mereka.

"Kakak dan adik saya itu dari Balaroa, dan kawasan berkenaan terjejas teruk, namun insya-Allah jika diizinkanNya, mereka masih hidup, pasti saya mahu bertemu dengan mereka kembali," katanya.

Berkongsi harapan sama ialah Mohd Tahir, 60, yang masih menantikan khabar berita sepupunya yang sehingga hari ini gagal dikesan.

"Jika dia (sepupu) masih ada, saya pohon Allah temukanlah kami, namun jika benarlah dia sudah meninggal dunia, saya ikhlaskan, tetapi berharap supaya jasadnya itu ditemui, supaya saya boleh sempurnakan pengebumiannya," kata warga Janoge itu dalam nada sebak.

Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.

-- BERNAMA