INTERNATIONAL
Semua pihak hasrat muktamadkan pertukaran tahanan Rusia-Ukraine segera - Kremlin

Kremlin pada Khamis memaklumkan bahawa semua pihak kini sedang berusaha memuktamadkan pertukaran tahanan berskala besar antara Rusia dan Ukraine, melibatkan 1,000 tahanan dari setiap negara, secepat mungkin. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Kremlin pada Khamis memaklumkan bahawa semua pihak kini sedang berusaha memuktamadkan pertukaran tahanan berskala besar antara Rusia dan Ukraine, melibatkan 1,000 tahanan dari setiap negara, secepat mungkin.
Pengumuman itu dibuat susulan rundingan langsung pertama antara kedua-dua negara dalam tempoh tiga tahun yang diusahakan oleh Turkiye minggu lalu di Istanbul.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan proses pertukaran dan meneroka rundingan ke arah kemungkinan gencatan senjata.
Jika dilaksanakan, perjanjian itu akan menjadi pertukaran tahanan terbesar sejak perang Ukraine bermula, yang kini memasuki tahun keempat."Ini adalah isu yang agak rumit dan memerlukan banyak kerja," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada pemberita di Moscow, sambil memaklumkan bahawa proses pemadanan senarai nama masih berjalan.
"Memandangkan kita bercakap mengenai 1,000 lawan 1,000, ia memerlukan masa. Namun, semua pihak berhasrat melaksanakannya secepat mungkin," katanya.
Bagaimanapun, Peskov menafikan bahawa sebarang persetujuan telah dicapai berhubung lokasi atau waktu bagi rundingan langsung seterusnya.
Sementara itu, Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak, menerusi Telegram menyatakan bahawa Kyiv menegaskan pertukaran tahanan yang telah dipersetujui perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai lokasi mesyuarat selanjutnya dibuat.
Lewat Khamis, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memaklumkan bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat bagi membuat persiapan pertukaran itu, sambil menjelaskan bahawa pihak berkuasa sedang mengesahkan senarai nama yang dikemukakan oleh Rusia.
"Mengembalikan semua rakyat kita dari tahanan Rusia adalah antara tumpuan utama Ukraine," tulis Zelensky di X (dahulunya Twitter), dan menyifatkan perjanjian itu sebagai "mungkin satu-satunya hasil nyata daripada pertemuan di Turkiye."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami