DUNIA
Seorang daripada tiga penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari - PBB

Gaza kini mengalami krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarahnya, dengan kebuluran teruk berlaku serentak dengan serangan genosid yang dilancarkan oleh Israel sejak 7 Oktober 2023. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Tom Fletcher pada Isnin berkata seorang daripada tiga penduduk di Gaza tidak makan selama beberapa hari, sambil menyeru penghantaran bantuan segera dan pelaksanaan gencatan senjata yang berkekalan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Dalam satu kenyataan mengenai situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Fletcher menegaskan yang "Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan di hadapan mata dunia," sambil menyatakan yang mereka yang cuba mendapatkan bantuan makanan ditembak dan kanak-kanak "merana'' akibat kelaparan.
Beliau berkata seorang daripada tiga orang di Gaza tidak makan selama beberapa hari, dan menegaskan "bantuan tidak sepatutnya dihalang, dilewatkan, atau diagihkan di bawah serangan."
Beliau berkata konvoi bantuan harus diberi kebenaran untuk menyeberangi sempadan dengan segera dan menegaskan keperluan untuk menghentikan serangan terhadap mereka yang cuba mendapatkan bantuan makanan.Gaza kini mengalami krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarahnya, dengan kebuluran teruk berlaku serentak dengan serangan genosid yang dilancarkan oleh Israel sejak 7 Oktober 2023.
Sejak 2 Mac 2025, Israel menutup semua lintasan ke Semenanjung Gaza dan menghalang kemasukan kebanyakan bantuan makanan dan perubatan, menyebabkan kebuluran meluas di wilayah itu. Menurut angka terkini, seramai 134 rakyat Palestin, termasuk 88 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran, kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun akibat sekatan berterusan.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan 59,821 penduduk terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak dan 144,851 yang lain cedera, menurut angka yang belum muktamad, memandangkan masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan, serta pasukan perubatan dan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami