Sepanyol tidak akan sertai Lembaga Keamanan pimpinan Trump

Pemimpin Sepanyol itu turut menegaskan bahawa badan berkenaan "tidak menyertakan Pihak Berkuasa Palestin". - Reuters
BRUSSELS: Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Jumaat berkata Sepanyol tidak akan menyertai inisiatif Lembaga Keamanan yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, iaitu satu inisiatif yang disifatkan pengkritik sebagai memperlekehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami menghargai jemputan itu, namun kami menolaknya," kata Sanchez kepada pemberita selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.
"Kami berbuat demikian, terutamanya dan secara dasarnya, demi ketekalan," kata Sanchez sambil menambah bahawa keputusan itu selaras "dengan orde pelbagai hala, sistem PBB dan undang-undang antarabangsa."
Pemimpin Sepanyol itu turut menegaskan bahawa badan berkenaan "tidak menyertakan Pihak Berkuasa Palestin".
Trump pada Khamis melancarkan badan itu secara rasmi pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dengan menandatangani piagam penubuhannya bersama sekumpulan negara daripada pelbagai latar belakang.
Kira-kira 60 kerajaan telah diundang untuk menyertai lembaga itu, namun hanya segelintir sekutu Barat Washington yang menerimanya secara terbuka, dengan Hungary dan Bulgaria merupakan antara ahli EU yang setakat ini telah menandatangani piagam itu. Penandatangan lain termasuk Argentina, Israel dan Arab Saudi.
Dua daripada pesaing terbesar Washington, iaitu Rusia dan China, turut dijemput namun masih belum memberikan komitmen rasmi.
Trump pada asalnya mengilhamkan lembaga itu sebagai badan untuk memantau pembinaan semula Semenanjung Gaza susulan peperangan antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Beliau kemudiannya memberi bayangan bahawa matlamat lembaga itu boleh diperluas untuk menangani konflik dan krisis di seluruh dunia, malah menyatakan pada majlis berkenaan bahawa badan itu "boleh berkembang kepada perkara lain" melangkaui isu Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


