INTERNATIONAL
Sepanyol tingkatkan pembiayaan untuk siasatan PBB terhadap jenayah perang di Gaza

ALBARES: Penduduk awam Gaza berhak dihormati dan hidup dengan aman dan Sepanyol menuntut perkara itu serta akan terus memperjuangkannya. - Gambar fail/AP
GENEVA: Sepanyol akan menyumbang EUR500,000 (lebih AS$560,000) sebagai tambahan bagi menyokong siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan kemungkinan jenayah perang yang dilakukan di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pengumuman Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares pada Isnin.
"Dengan hasrat untuk menamatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa ini dan memastikan kebertanggungjawapan, saya mengumumkan yang kami akan usaha menyokong Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia dalam mempertingkat siasatan terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang yang mungkin berlaku di Gaza," kata Albares kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Sepanyol.
Beliau menyifatkan krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza akibat sekatan bantuan oleh Israel sebagai "sama sekali tidak dapat diterima," dan menuduh Tel Aviv bertanggungjawab menyebabkan "kebuluran yang tidak pernah berlaku sebelum ini."
"Kemasukan makanan dengan segera amat penting untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah," katanya. "Penduduk awam Gaza berhak dihormati dan hidup dengan aman dan Sepanyol menuntut perkara itu serta akan terus memperjuangkannya."Minggu lepas, Sepanyol turut menyertai prosiding lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tanggungjawab Israel sebagai kuasa pendudukan di wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam prosiding itu, Sepanyol sekali lagi menegaskan tanggungjawab Tel Aviv untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, termasuk memastikan keperluan asas penduduk dipenuhi dan bekerjasama dengan PBB.
Sejak 2 Mac, Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza, menghalang kemasukan bekalan penting ke wilayah yang diserang itu, meskipun terdapat pelbagai laporan mengenai kebuluran.
Minggu lepas, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza Ismail Thawabteh, memberitahu AA yang wilayah itu memasuki "tahap kebuluran yang kritikal" berikutan penutupan pintu masuk dan serangan ketenteraan terbaharu Israel.
Lebih 52,500 penduduk Palestin terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami