Serangan Al-Aqsa: Iran gesa PBB kutuk tindakan Israel

Astro Awani
Mei 8, 2021 23:33 MYT
Selepas serangan yang terjadi pada Jumaat, warga Palestin tetap mengerjakan solat di pekarangan Masjid Al-Aqsa, 8 Mei, 2021. REUTERS
IRAN menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan keras tentera Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa di wilayah timur Baitulmaqdis yang diduduki.
Tehran turut menyifatkan perbuatan rejim itu sebagai jenayah perang.
Lebih 200 cedera dalam pertempuran pada Jumaat antara penduduk Palestin dengan tentera Israel di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
Jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan berkata, Iran mengecam serangan tersebut.
Tambah kenyataan itu, jenayah perang yang dilakukan itu sekali lagi membuktikan kepada dunia sifat jenayah rejim zionis yang menceroboh tanah orang lain.
BACA: Serangan Masjid Al-Aqsa: Dunia perlu buat sesuatu bantu rakyat Palestin - Anwar Ibrahim
BACA: Malaysia kecam pencerobohan, serangan tentera serta pendatang Yahudi di Masjid Al-Aqsa - Hishammuddin
Ketegangan di Baitulmaqdis meningkat sejak akhir-akhir ini apabila Israel melarang akses penduduk Palestin ke beberapa bahagian di Kota Lama sepanjang bulan Ramadan.
Pada Sabtu, PBB meminta Israel mengakhiri pengusiran secara paksa di wilayah timur Baitulmaqdis yang didudukinya, dengan mengingatkan tindakan itu boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebelum ini melabel Israel bukan sebuah negara tetapi pangkalan pengganas.
#pengganas #jenayah #serangan #Iran #Israel #Ramadan #tentera #Islam #PBB #Kementerian Luar #Zionis #cedera #Masjid Al-Aqsa #Saeed Khatibzadeh #pengusiran secara paksa #pendudukan