SERANGAN bersiri di sekitar Paris lewat Jumaat menyebabkan lebih daripada 150 orang maut, dan disifatkan paling buruk dalam sejarah Perancis.

Enam lokasi berasingan menjadi sasaran, meliputi stadium nasional hinggalah ke sebuah restoran piza.

Jumlah kematian dijangka akan meningkat.


Dewan Konsert Bataclan

Kira-kira 1,500 orang bersesak-sesak di dewan terkenal yang terletak di timur Paris untuk menghadiri konsert band dari Amerika Syarikat, Eagles of Death Metal.

Lebih kurang satu jam selepas naik ke pentas, dewan konsert bertukar menjadi "lokasi pertumpahan darah", menurut wartawan radio Perancis yang berada di tempat kejadian.

Empat orang penyerang terbunuh selepas polis menyerbu masuk; tiga daripadanya mengaktifkan suicide vest dan tali pinggang sarat dengan letupan, manakala seorang lagi ditembak mati. Kira-kira 100 mangsa terbunuh di sini.

Stade de France

Tiga letupan didengari di stadium ketika perlawanan persahabatan antara Perancis dan Jerman.

Lima disahkan maut.

Satu daripada tiga letupan itu adalah dari pengebom berani mati.

Presiden Perancis Francois Hollande, dibawa meninggalkan stadium selepas letupan kedengaran.

Perlawanan bagaimanapun berjaya ditamatkan.

BACA: Paris 'berdarah' lagi: 'Kenapa terlalu banyak kebencian dalam dunia kini?'

FOTO:
Serangan bersiri di Paris, sekurang-kurangnya 153 maut

Rue de Charonne

Sebuah restoran Jepun turut menjadi sasaran.

Sekurang-kurangnya 18 disahkan maut.

Saksi berkata beberapa tembakan dilepaskan dalam tempoh kira-kira tiga minit.

Rue de la Fontaine au Roi

Pengunjung terkejut apabila Restoran Kemboja Petit Cambodge digegarkan dengan bunyi letupan.

Bunyi letupan dan tembakan berterusan untuk kira-kira 30 saat.

Restoran Casa Nostra

Sebuah restoran piza yang terletak hanya beberapa ela dari Dewan Bataclan menyaksikan lima orang maut.

Saksi mengatakan mereka melihat mayat bergelimpangan di segenap sudut jalan.

Boulevard Voltaire

Satu sumber memberitahu salah seorang penyerang meletupkan diri menggunakan tali pinggang sarat dengan bahan letupan di Boulevard Voltaire, berhampiran Bataclan. Tiada maklumat sama ada terdapat kecederaan atau tidak.

BACA: Serangan bersiri Paris: Tiada rakyat M'sia dilaporkan terbabit insiden - Kementerian Luar

TONTON:
Warga Malaysia di Paris ceritakan detik cemas