WASHINGTON:Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence menolak cadangan untuk menyingkirkan Presiden Donald Trump daripada jawatannya seperti yang dicadangkan Kongres.

Dalam satu surat kepada Speaker Nancy Pelosi pada Rabu, Pence menegaskan bahawa tindakan penyingkiran Presiden Trump menggunakan Artikel 25 Perlembagaan Amerika Syarikat adalah satu tindakan yang tidak bernas.

“Saya percaya tindakan itu bukan merupakan tindakan yang berniat baik, selain tidak selari dengan perlembagaan negara,” kata Pence dalam surat itu.

Sekurang-kurangnya tiga ahli Parti Republikan, termasuk ahli perwakilan AS Liz Cheney dan John Katko, telah menyokong keputusan Kongres yang diketuai Parti Demokrat untuk memecat Trump selepas didakwa memainkan peranan dalam serangan terhadap Capitol minggu lalu.

Trump, bagaimanapun, menafikan dirinya bertanggungjawab atas kejadian itu.

BACA: Serangan Capitol: Kongres mahu singkir Trump

Dalam pada itu, Pence berkata, motif pentadbiran AS adalah untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan dengan teratur dan memohon Pelosi serta ahli-ahli Kongres untuk tidak menjadi batu api kepada situasi sedia ada.

Sebelum ini, Trump menggalakkan penyokongnya menyerang bangunan Capitol melalui beberapa ciapan yang dihantar di Twitter.

Ini selepas beliau mendakwa kekalahannya dalam pilihan raya November lalu adalah akibat penipuan, satu dakwaan yang masih belum disokong oleh sebarang bukti kukuh.

BACA: Trump nafi bertanggungjawab cetus rusuhan ganas di Capitol