Susulan tragedi tembakan di Christchurch, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berlepas ke Christchurch untuk melawat warga Malaysia yang terlibat dalam insiden di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Menerusi perkongsiannya dengan Astro AWANI, beliau berkata setakat ini, hanya tiga warga Malaysia yang dikenal pasti kini menerima rawatan di hospital namun belum ada sebarang perkembangan mengenai warga Malaysia lain.

“Tarmizi sekarang telah dipindahkan ke wad Unit Rawatan Pasca Pembedahan (SPCU) bagi menjalani pembedahan kali kedua,” kata Azrul apabila ditanya mengenai Mohd Tarmizi Shuid, warga Malaysia yang tercedera dalam insiden serangan di Christchurch.

"Setakat ini kami belum lagi mendapat apa-apa berita mengenai anak Tarmizi iaitu Mohd Haziq, dan isterinya kini telah berjumpa dengan pihak polis untuk membuat pengesahan," tambahnya lagi.

Sementara itu dua warga Malaysia lain iaitu, Mohd Nazri dan Rahimi Ahmad dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.