GAZA/JERUSALEM: Serangan roket besar-besaran dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel, manakala sebilangan pejuang Palestin telah menembusi Israel dari Gaza, menurut tentera Israel Sabtu.

Menurut sumber perubatan Israel, pusingan baharu konflik antara kedua-dua pihak telah mengorbankan 22 warga Israel.

Serangan mengejut bermula beberapa minit sebelum 7 pagi waktu tempatan (0400 GMT) pada hari cuti Israel Simchat Torah, lapor Xinhua.

Dua jam selepas serangan bermula, tentera udara Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza. Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant turut mengerah askar simpanan.

Rakaman di media sosial menunjukkan lelaki bertopeng memandu di sekitar bandar Sderot Israel sambil melepaskan tembakan di jalanan. Saluran berita Israel memetik kenyataan penduduk beberapa bandar di sempadan Gaza bahawa terdapat lelaki bertopeng di jalanan sambil memegang senjata api.

Mohammed al-Deif, seorang pemimpin Hamas, mengumumkan permulaan operasi ketenteraan baharu "Banjir Al-Aqsa" terhadap Israel, melalui satu kenyataan ringkas yang dirakamkan.

Pihak berkuasa kesihatan Hamas dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan bahawa Israel menyerang sebuah hospital di utara Gaza, membunuh seorang pekerja dan mencederakan beberapa penduduk tempatan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat protes di sempadan, dengan penunjuk perasaan membakar tayar dan membaling bahan letupan ke arah tentera Israel. Hamas berkata bantahan itu sebagai reaksi terhadap lawatan Yahudi ke masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis baru-baru ini. Sebagai tindak balas, Israel telah menghalang kemasukan penduduk Gaza yang mempunyai permit untuk bekerja di negara itu.

Komando Barisan Dalam Negeri Israel telah mengumumkan sekolah akan ditutup pada hari Ahad di banyak kawasan di seluruh negara.

BERNAMA-XINHUA