Skip to main content

Dunia

Serangan Rusia ragut lebih 20 nyawa menjelang gencatan senjata pesaing Kyiv dan Moscow

Overnight combined missile and drone strikes killed five and injured dozens across Ukraine_DSNS Ukraine
Lebih 20 orang terbunuh dalam beberapa serangan Rusia di seluruh Ukraine pada Selasa, menjelang pengumuman gencatan senjata unilateral yang dicadangkan secara berasingan oleh Moscow dan Kyiv.

KYIV/MOSCOW: Lebih 20 orang terbunuh dalam beberapa serangan Rusia di seluruh Ukraine pada Selasa, menjelang pengumuman gencatan senjata unilateral yang dicadangkan secara berasingan oleh Moscow dan Kyiv.

Pihak berkuasa di Zaporizhzhia memaklumkan, 12 orang terkorban dalam serangan udara Rusia, yang disifatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai satu “serangan pengganas yang sinis.” 

Advertisement

Beliau turut berkata, lima individu terbunuh di Kramatorsk manakala empat lagi maut di Dnipro.

Di Rusia, pihak berkuasa di Republik Chuvash melaporkan, dua orang terbunuh dan 32 yang lain cedera dalam serangan dron pada pagi Selasa.

Pada Isnin, Rusia dan Ukraine masing-masing mengumumkan gencatan senjata unilateral menjelang sambutan Rusia memperingati kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman pada Sabtu ini.

Rusia menyatakan gencatan senjata akan dikuatkuasakan pada 8 dan 9 Mei, sambil memberi amaran akan melancarkan “serangan misil besar-besaran” ke atas pusat bandar Kyiv sekiranya Ukraine melanggar gencatan tersebut.

Bagaimanapun, Kyiv mengumumkan, ia akan mematuhi gencatan senjata tanpa had masa bermula tengah malam 6 Mei, dan menegaskan Ukraine akan bertindak secara “simetri” selepas itu.

Kedua-dua gencatan itu dilihat bersifat unilateral kerana kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan bersama mengenai terma, tempoh atau mekanisme pemantauan.

Ketua kakitangan Presiden Ukraine, Kyrylo Budanov berkata, sekiranya gencatan senjata yang diumumkan oleh Zelenskyy dipatuhi pihak lawan, Ukraine akan terus mematuhinya sambil menegaskan langkah seterusnya bergantung kepada Rusia.

Zelenskyy turut menggesa Moscow supaya meletakkan senjata dan “beralih kepada diplomasi sebenar.”

Menurutnya, tindakan meminta ketenangan semata-mata untuk mengadakan sambutan propaganda sambil melancarkan serangan misil dan dron setiap hari sebelum itu adalah satu bentuk sikap sinis yang keterlaluan.

Penganalisis berpandangan, gencatan awal tanpa tempoh yang diumumkan Ukraine adalah usaha Zelenskyy untuk menunjukkan kesediaan negaranya melaksanakan gencatan senjata segera dan berkekalan, selain memastikan sebarang pelanggaran dapat dituding kepada Rusia.

“Kami percaya bahawa nyawa manusia jauh lebih bernilai berbanding ‘sambutan’ mana-mana ulang tahun,” tulis Zelenskyy di Telegram.

Menjelang gencatan tengah malamnya sendiri pada Rabu (Selasa 22:00 GMT), Ukraine turut melancarkan beberapa serangan udara ke atas Rusia, menyasarkan kawasan perindustrian di Kirishi di wilayah Leningrad serta sebuah kilang pengeluaran komponen ketenteraan di Cheboksary, Republik Chuvash.

Zelenskyy berkata, misil kruis Flamingo buatan tempatan digunakan untuk menyerang kilang di Cheboksary, kira-kira 1,500 kilometer dari barisan hadapan. 

Video yang belum disahkan menunjukkan objek bergerak pantas diikuti letupan besar.

Kementerian Pertahanan Rusia kemudiannya mengesahkan pihaknya telah menembak jatuh enam misil Flamingo Ukraine serta 601 dron.

Pada pagi Selasa, beberapa lapangan terbang di seluruh Rusia ditutup sementara.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin turut memaklumkan, sejumlah dron telah ditembak jatuh berhampiran ibu negara.

Kremlin dilaporkan menunjukkan tanda-tanda kegelisahan menjelang Hari Kemenangan pada 9 Mei. 

Sambutan yang menandakan kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman itu semakin diperbesarkan sejak awal pemerintahan Presiden Vladimir Putin pada awal 2000-an.

Namun, Kremlin memaklumkan, acara kemuncak iaitu perarakan ketenteraan besar di Dataran Merah akan dikurangkan skala penganjurannya tahun ini atas faktor “ancaman pengganas” dari Ukraine dan tiada aset ketenteraan berat akan dipamerkan.

Penduduk Moscow turut dimaklumkan bahawa akses internet mudah alih mungkin terganggu atau diputuskan selama beberapa hari menjelang 9 Mei.

Zelenskyy berkata, hakikat bahawa Rusia merasakan ia tidak mampu mengadakan perarakan di Moscow tanpa kesediaan Ukraine mematuhi gencatan senjata menunjukkan sudah tiba masanya pemimpin Rusia mengambil langkah untuk menamatkan perang.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Ukraine meningkatkan serangan dron jarak jauh ke dalam wilayah Rusia, menyasarkan kemudahan tenaga dan loji penapisan minyak serta mengganggu perdagangan minyak negara itu.

Dron Ukraine kini mampu terbang jauh ke dalam Rusia dengan mengelak pertahanan udara, dan pada Isnin sebuah daripadanya dilaporkan mengenai sebuah bangunan tinggi di tengah Moscow.

Sementara itu, serangan Moscow ke atas bandar-bandar Ukraine terus mengorbankan orang awam di seluruh negara itu. 

Ribuan nyawa telah terkorban sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022. - Agensi

Must Watch Video