ZAGREB: Pemimpin Serbia dan Kosovo pada Isnin menyokong cadangan Kesatuan Eropah (EU) bagi menormalisasikan hubungan bersama dan menyatakan kesediaan untuk mula melaksanakannya, kata wakil tinggi EU bagi dasar luar dan keselamatan, Josep Borrell.

"Presiden Serbia Aleksandar Vucic dan Perdana Menteri Kosovo Albin Kurti hari ini bersetuju bahawa tidak ada keperluan lagi membincangkan cadangan untuk perjanjian normalisasi antara Kosovo dan Serbia," kata Borrell selepas pertemuan dengan kedua-dua pemimpin di Brussels.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak "menyatakan kesediaan mereka untuk mula melaksanakan perjanjian itu" dan mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat baharu dan pelaksanaan itu akan ditakrifkan, lapor Agensi Berita Croatia (Hina).

Borrell berkata bahawa kedua-dua pihak diingatkan tentang kewajipan untuk melaksanakan semua perjanjian yang dicapai setakat ini dalam rangka dialog, "yang masih sah".

Vucic dan Kurti berkata mereka akan mengelak daripada melakukan tindakan tidak selaras yang boleh membawa kepada ketegangan baharu dan mengganggu rundingan, katanya.

"Saya percaya akan ada banyak lagi mesyuarat. Kita harus bertemu semula pada 18 Mac di Macedonia Utara apabila Borrell melawat wilayah itu, dan sehingga itu kita akan bercakap dengan mengenai perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan," kata Vucic.

Kurti menyatakan persetujuan sambil berkata bahawa cadangan Eropah itu "boleh diterima dan tidak boleh diubah". "Kami sedang berusaha untuk menormalkan hubungan," kata Kurti, sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk menandatangani perjanjian asas, tetapi mendakwa pihak lain tidak bersedia untuk berbuat demikian.

--BERNAMA