WASHINGTON: Melainkan pihak penguatkuasa undang-undang persekutuan dapat mensabitkan bekas Presiden Donald Trump atas tuduhan jenayah sebelum pilihan raya presiden akan datang, serbuan FBI di rumahnya di Florida minggu lepas hanya akan menguatkan tuntutannya bagi pencalonan parti Republikan 2024, penganalisis politik memberitahu Sputnik.

Pada 8 Ogos, FBI mengeledah kediaman Trump Mar-a-Lago di Florida selepas waran dikeluarkan dan memeriksa premis itu selama sembilan jam, dan merampas 11 set dokumen dan bahan lain, beberapa dokumen dilabel "Rahsia Besar," berdasarkan waran geledah itu.

Trump mengutuk serbuan itu dan menyifatkan sistem keadilan AS menyasarkan dirinya dan mendakwa semua barangan yang ada di kediamannya telah diubah status dan bukan dokumen rahsia.

"Melainkan Donald Trump disabitkan dengan satu atau lebih jenayah sebelum November 2024, beliau kini merupakan pesaing yang jauh lebih kuat berbanding sebelum serbuan Mar-a-Lago," kata bekas pengurus dana lindung nilai yang juga pengulas politik Charles Ortel.

Serbuan itu, dan fakta bahawa Peguam Negara AS Merrick Garland membenarkannya secara peribadi, adalah episod memalukan terhadap Perlembagaan AS, kata Ortel.

Penganalisis politik Sam Husseini, selaku pengasas VotePact.org, berkata serbuan ini sepatutnya dilihat menggugat Trump, tetapi telah memberi kelebihan kepadanya.

"Tumpuan kini terarah kepada Trump. Ia menambah satu lagi dimensi kepada pentaksub golongan liberal yang mahu 'menggugatnya daripada kembali semula'. Tetapi Trump memperoleh kelebihan daripadanya," kata Hussein kepada Sputnik.

Profesor Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Pittsburgh Michael Brenner berkata ia akan meningkatkan populariti Trump dalam kalangan Republikan jika beliau memohon pencalonan, tetapi turut boleh menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA