HAMILTON (KANADA): Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula pada Selasa dengan Presidennya Khalilur Rahman menggesa usaha diperbaharui bagi memulihkan kepercayaan terhadap multilateralisme, ketika Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa membina semula keyakinan terhadap sistem global merupakan “cabaran utama ketika ini”, lapor Anadolu Ajansi.
Rahman berkata ketahanan PBB selama lebih lapan dekad mencerminkan tujuan asas penubuhannya, sambil berkata “selama lebih lapan dekad, pertubuhan kita telah membantu dunia mengelak daripada terjerumus ke dalam perang dunia ketiga, yang boleh dikatakan merupakan sebab utama kewujudannya.”
Menyoroti usaha PBB yang sering tidak mendapat perhatian, beliau berkata setiap hari, jauh daripada tumpuan umum, PBB dan barisan profesionalnya yang berdedikasi berusaha menyediakan makanan kepada jutaan orang termasuk pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia, menyokong keamanan dan keselamatan, memerangi penyakit kronik serta membantu negara menangani cabaran rentas sempadan yang kompleks.
Rahman turut mengakui institusi itu berulang kali gagal memenuhi jangkaan, dengan konflik berterusan, pencapaian pembangunan yang rapuh serta kesan perubahan iklim yang semakin buruk.
“Konflik terus menyebabkan penderitaan manusia, pencapaian pembangunan kekal lemah dan rapuh, manakala kesan iklim semakin meningkat,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa krisis yang bertindih itu telah menghakis keyakinan terhadap tindakan bersama.
“Defisit kepercayaan yang semakin melebar sedang menguji keyakinan terhadap institusi antarabangsa dan tindakan kolektif, satu jurang yang perlu kita rapatkan dengan bekerjasama menerusi dialog, pembaharuan kerjasama dan pelaksanaan.
“Hari ini, tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan institusi ini -- dan memang ada alasan kukuh untuk berbuat demikian -- tetapi memperkukuhkannya, bukan sekadar menyeru kepada kepercayaan yang menjadi asas multilateralisme, tetapi membinanya setiap hari.
“Ikrar saya bagi sesi ke-81 ini, rakan-rakan sekalian, adalah untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi menghidupkan semula kepercayaan terhadap institusi ini, yang akhirnya menjadi asas kepada kejayaan tindakan kolektif kita,” kata beliau.
Tema sesi itu, "Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations that Delivers for All," mencerminkan ikrar berkenaan.
Guterres ketika berucap pada Perhimpunan Agung menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Rahman dan berjanji memberikan sokongan penuh.
Menyambut baik tema sesi itu, Guterres berkata usaha membina semula keyakinan terhadap sistem pelbagai hala merupakan “cabaran utama zaman kita”, sambil merujuk konflik, risiko peningkatan ketegangan nuklear, kemiskinan yang semakin parah, gangguan iklim serta kecerdasan buatan yang tidak dikawal sebagai tekanan yang membebani institusi global, daripada Majlis Keselamatan hingga sistem kewangan antarabangsa.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru kepada kerjasama, sambil berkata menerusi diplomasi, dialog dan kerjasama, Perhimpunan Agung mampu membina semula kepercayaan dan niat baik yang kini semakin terhakis dalam geopolitik, sekali gus memastikan penduduk dunia mewarisi masa depan yang lebih baik, sihat dan aman.
-- BERNAMA-ANADOLU