Skip to main content

Dunia

Setahun selepas gencatan senjata, janji pemulihan Gaza belum jadi kenyataan

Serangan Israel masih berterusan dengan proses pengunduran tenteranya terhenti, malah sebahagian tentera Israel kembali mara. Pengaturan tadbir urus juga masih belum lengkap, manakala pembinaan semula secara besar-besaran masih belum bermula. -Gambar fail/Reuters
Serangan Israel masih berterusan dengan proses pengunduran tenteranya terhenti, malah sebahagian tentera Israel kembali mara. Pengaturan tadbir urus juga masih belum lengkap, manakala pembinaan semula secara besar-besaran masih belum bermula. -Gambar fail/Reuters

Advertisement

BANDARAYA GAZA / ISTANBUL: Setahun selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza, semua tawanan Israel telah dihantar pulang, namun sebahagian besar perkara yang dijanjikan kepada rakyat Palestin menerusi perjanjian itu masih belum menjadi kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.

Serangan Israel masih berterusan dengan proses pengunduran tenteranya terhenti, malah sebahagian tentera Israel kembali mara. Pengaturan tadbir urus juga masih belum lengkap, manakala pembinaan semula secara besar-besaran masih belum bermula.

Sebahagian besar daripada kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza masih kehilangan tempat tinggal, dengan ramai yang menetap di khemah, bangunan rosak atau di tengah-tengah runtuhan, ketika pihak berkuasa Palestin menyifatkan serangan berterusan itu sebagai kesinambungan perang genosid Israel di Gaza yang bermula pada 8 Okt 2023.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Okt 2025 hasil pengantaraan Mesir, Qatar, Turkiye dan Amerika Syarikat (AS), dengan perjanjian berkenaan memperuntukkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat, peningkatan bantuan kemanusiaan, pengaturan tadbir urus baharu serta pembinaan semula.

Pada 13 Okt 2025, Hamas membebaskan baki 20 tawanan Israel yang masih hidup, manakala Israel membebaskan 1,968 tahanan Palestin, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Proses penyerahan jasad tawanan Israel yang telah meninggal dunia diteruskan sehingga 26 Jan 2026, apabila tentera Israel mengumumkan penemuan jasad terakhir.

Bagaimanapun, gencatan senjata itu tidak menghentikan serangan Israel di Gaza. Sepanjang tahun lalu, pelanggaran perjanjian oleh Israel mengorbankan lebih 1,470 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 5,180 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Mesir, Qatar dan Turkiye pada Ogos menyatakan bahawa serangan berterusan Israel melanggar perjanjian berkenaan serta menghalang pelaksanaan fasa keduanya.

Sebelum gencatan senjata diisytiharkan, tentera Israel menguasai kira-kira 75 peratus wilayah Gaza.

Perjanjian itu pada awalnya membawa kepada pengunduran sebahagian tentera Israel ke kawasan yang dikenali sebagai "garisan kuning", sekali gus menyaksikan tentera Israel masih diatur gerak di kira-kira 53 peratus wilayah itu, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).”

Bagaimanapun, pengunduran itu terhenti sebelum tentera Israel kembali mara ke beberapa kawasan. Menjelang akhir Jun, OCHA memaklumkan bahawa tentera Israel telah meluaskan kedudukan mereka ke arah barat melepasi garisan kuning, menyebabkan 64.9 peratus kawasan Gaza berada di bawah kawalan langsung Israel atau tertakluk kepada sekatan lebih ketat.

Menjelang Ogos, PBB memaklumkan bahawa hampir dua pertiga wilayah itu tidak dapat diakses oleh rakyat Palestin atau tertakluk kepada sekatan yang ketat.

Walaupun perjanjian memperuntukkan peningkatan bantuan kemanusiaan, OCHA pada September memaklumkan bahawa Kerem Shalom kekal sebagai satu-satunya lintasan yang beroperasi bagi kemasukan barangan selepas lintasan Zikim ditutup pada Mei.

Sekatan Israel juga berterusan terhadap bahan yang diperlukan untuk penyediaan tempat perlindungan dan pembinaan.

PBB, Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia menganggarkan Gaza memerlukan US$71.4 bilion dalam tempoh 10 tahun bagi usaha pemulihan dan pembinaan semula, termasuk US$26.3 bilion dalam tempoh 18 bulan pertama.

Penilaian mereka mendapati 1.9 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, manakala 371,888 unit kediaman mengalami kerosakan atau musnah.

OCHA pada September memaklumkan bahawa sekatan Israel masih menghalang kemasukan bekalan tempat perlindungan yang amat diperlukan, termasuk ribuan khemah dan bahan binaan.

Setahun selepas gencatan senjata, isu mengenai tawanan telah pun selesai. Namun, bagi penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, peralihan yang dijanjikan daripada perang kepada pemulihan masih belum menjadi kenyataan.

Sejak Oktober 2023, lebih 74,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 175,000 cedera akibat serangan Israel di Gaza, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu musnah, menurut angka pihak berkuasa Palestin.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement