Sheikh Dr Ekrima didakwa di mahkamah Israel atas tuduhan 'menghasut'

Ekrima, 87 tahun, hadir di Mahkamah Majistret di Baitulmuqaddis dengan berkerusi roda bersama peguam dan beberapa penyokong Palestin, bagi menghadapi pertuduhan 'menghasut'. - Gambar fail/PASSIA
BAITULMUQADDIS/ISTANBUL: Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri didakwa di sebuah mahkamah Israel di Baitulmuqaddis pada Selasa berhubung pertuduhan "menghasut", lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri didakwa di mahkamah Israel di Baitulmuqaddis berhubung pertuduhan "menghasut" berdasarkan dua ucapan takziah yang disampaikan pada 2022 dan atas pemergian Ismail Haniyeh pada 2024.
- Peguam bela imam itu menyifatkan pertuduhan sebagai "rekaan" dan akan meminta mahkamah untuk mengemukakan bukti lanjut bagi menolak dakwaan tersebut.
- Israel mengambil tindakan berulang terhadap Sheikh Dr Ekrima disebabkan khutbahnya yang menyokong Gaza dan hasutan oleh pegawai Tel Aviv, termasuk Menteri Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri, mengakibatkan beliau menghadapi tekanan berterusan.
Bekas mufti besar Palestin berusia 87 tahun itu hadir di mahkamah dengan berkerusi roda bersama peguam dan beberapa penyokong Palestin.
Peguam bela Khaled Zaharia sebelum ini memberitahu Anadolu bahawa sesi berkenaan bersifat prosedur dan menyifatkan pertuduhan terhadap imam itu sebagai "rekaan".
"Kami akan meminta mahkamah supaya mengemukakan bukti lanjut yang kami anggap perlu bagi menolak pertuduhan ini," katanya.
Peguam itu berkata melalui perbicaraan terhadap imam Masjid Al-Aqsa, Israel "menyasarkan seluruh peranan dan pengaruh Sheikh Dr Ekrima sebagai tokoh agama berpengaruh di Baitulmuqaddis."
Beliau berkata Sheikh Dr Ekrima berdepan tekanan berterusan daripada pihak berkuasa Israel, "selain kempen hasutan oleh kumpulan pelampau sayap kanan yang secara terbuka menggesa agar beliau disasarkan dan dibunuh."
Selepas pertuduhan dibacakan, mahkamah memutuskan satu lagi sesi perbicaraan bagi Sheikh Dr Ekrima akan diadakan pada 6 Jan.
Pada Ogos 2024, polis Israel melarang Sheikh Dr Ekrima memasuki Masjid Al-Aqsa selama enam bulan kerana menyampaikan ucapan takziah atas kematian Haniyeh.
Pihak berkuasa Israel berulang kali mengambil tindakan terhadap imam Palestin itu berhubung khutbahnya yang menyokong Gaza, selain hasutan berterusan terhadap beliau oleh pegawai di Tel Aviv termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Dalam Negeri Moshe Arbel.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci di dunia bagi umat Islam.
Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur, lokasi Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967 dan telah mengilhak seluruh bandar itu pada 1980 dalam langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Sejak Okt 2023, tindakan Israel di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat menyebabkan lebih 1,074 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 20,500 ditahan, sementara jumlah korban di Gaza melebihi 69,000 sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

