Sheikh Hasina dilantik buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada Ahad selepas melalui pilihan raya umum yang diboikot oleh pihak pembangkang disebalik krisis politik yang berlarutan.

Presiden Abdul Hamid memimpin sesi mengangkat sumpah di istana presiden di ibu kota Dhaka dimana upacara tersebut disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, seminggu selepas pihak pembangkang mengutuk pilihan raya tersebut sebagai tidak telus.

"Saya Sheikh Hasina, mengangkat sumpah... bahawa saya akan menjalankan tugas saya dengan telus sebagai perdana menteri bagi kerajaan seperti tertakluk dalam undang-undang," kata Hasina pada upacara tersebut.

Seramai 48 anggota kabinet Hasina turut mengangkat sumpah pada upacara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 kakitangan rasmi kerajaan dan tentera, selain diplomat asing dan ahli parlimen yang baru dilantik.

Hasina tetap dengan pendiriannya bahawa kemenangannya pada pilihan raya 5 Januari lalu adalah sah, walaupun menerima tentangan daripada pihak pembangkang dan sekutunya semasa pilihan raya yang dianggap paling ganas dalam sejarah negara tersebut.

Parti Liga Awami Hasina menang hampir 80 peratus kerusi, yang melayakkannya untuk kembali berkuasa untuk lima tahun lagi.